Isnin, 16 Disember 2019 | 5:08pm
KETUA Pegawai Eksekutif Perkhidmatan Kewangan Komuniti Maybank, Datuk John Chong (dua dari kanan) ketika melancarkan Kad American Express Platinum baharu di Kuala Lumpur, hari ini.

Maybank perkenal kad American Express Platinum baharu

KUALA LUMPUR: Maybank menjadi rakan perbankan American Express pertama di dunia untuk memperkenalkan kad American Express Platinum baharu.

Kad keluli tahan karat baharu itu direka untuk mendefinisikan semula kemewahan untuk pelancong global dengan akses eksklusif dan pengalaman unik.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkhidmatan Kewangan Komuniti Maybank, Datuk John Chong, berkata kad American Express Platinum bersedia untuk merangsang pelanggan utama dengan reka bentuk logam baharu dan menawarkan manfaat perjalanan serta gaya hidup lebih baik.

“Sejak beberapa tahun, Maybank menakrifkan semula maksud kemewahan dan bersaing dengan keperluan serta pilihan pelanggan yang semakin berkembang.

“Kad American Express Platinum kini menawarkan manfaat terbaik dalam pasaran yang direka untuk pelancong global yang memberi tumpuan kepada perjalanan dan gaya hidup mewah,” katanya dalam satu kenyataan.

Pemegang kad American Express Platinum akan menerima mata ganjaran keahlian lima kali bagi setiap RM1 yang dibelanjakan di peringkat domestik dan luar negara.

Selain mata ganjaran keahlian tidak luput, pemegang juga menerima tawaran 300,000 mata apabila mendaftar dan berbelanja RM20,000 dalam tempoh 90 hari selepas menerima kad American Express Platinum bersamaan tiket kelas ekonomi pergi balik Kuala Lumpur ke Tokyo.

Selain itu, pemegang kad juga akan mendapat akses tanpa had lounge lapangan terbang global.

Sementara itu, Ketua Kad Maybank, B Ravintharan, berkata data menunjukkan perjalanan dan hotel menjadi dua industri utama kepada ahli kad.

“Kami menyasarkan untuk meningkatkan jumlah pemilikan kad American Express Platinum sebanyak 30 peratus tahun depan,” katanya.

Maybank menjadi peneraju dalam pengeluaran kad kredit di Malaysia dengan lebih 14 juta kad kredit, caj dan debit dalam edaran sehingga Oktober tahun ini.

Ia mewakili lebih 30 peratus penguasaan pasaran daripada jumlah bil, selain meneruskan pertumbuhan 13 peratus tahun ke tahun pada suku ketiga tahun ini.

Berita Harian X