Selasa, 17 Disember 2019 | 7:01pm
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group Bhd, Tan Sri Tony Fernandes (dua dari kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif airasia.com, Karen Chan (dua dari kanan) melancarkan tawaran AirAsia Deals di Kuala Lumpur, hari ini. Turut hadir, Ketua Bahagian Gaya Hidup airasia.com, Peggy Yeoh (tiga dari kanan). - NSTP/Asyraf Hamzah
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group Bhd, Tan Sri Tony Fernandes (dua dari kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif airasia.com, Karen Chan (dua dari kanan) melancarkan tawaran AirAsia Deals di Kuala Lumpur, hari ini. Turut hadir, Ketua Bahagian Gaya Hidup airasia.com, Peggy Yeoh (tiga dari kanan). - NSTP/Asyraf Hamzah

Tawaran AirAsia Deals akan diperluas tahun depan

KUALA LUMPUR: AirAsia Group Bhd akan memperluaskan tawaran AirAsia Deals, pakej gaya hidupnya ke seluruh Malaysia, Singapura dan Thailand menjelang tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group Bhd, Tan Sri Tony Fernandes berkata, AirAsia kini lebih daripada syarikat penerbangan yang menawarkan produk dan perkhidmatan dalam perjalanan, gaya hidup, logistik, kewangan dan banyak lagi.

Katanya, setakat ini terdapat lebih 100 rakan dagang AirAsia Deals yang menawarkan pelbagai promosi bagi makanan dan minuman (F&B), kecantikan dan perkhidmatan pada harga yang sangat menarik.

"Sebelum ini, AirAsia telah meneroka segmen F&B menerusi pembukaan cawangan restoran Santan dan terbaharu platform perjalanan dan gaya hidup AirAsia, airasia.com melancarkan AirAsia Deals.

"Kami akan menambah lebih banyak rakan dagang pada masa akan datang sekali gus memberi lebih banyak pilihan kepada orang ramai bukan sahaja di Kuala Lumpur tetapi di seluruh negara," katanya kepada media selepas pelancaran AirAsia Deals di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif airasia.com, Karen Chan.

Sempena pelancaran itu, airasia.com menawarkan promosi 24 jam pada harga RM1 bermula 18 Disember 2019 untuk pembelian Tawaran AirAsia Deals.

Selain Tawaran AirAsia Deals, tawaran gaya hidup lain yang terdapat di airasia.com termasuklah SNAP (pakej penerbangan+hotel), hotel, aktiviti, barangan bebas cukai dan insurans perjalanan.

Pelanggan kini boleh menikmati lebih daripada 80 tawaran gaya hidup yang terdiri daripada F&B, kecantikan dan perkhidmatan pada hanya RM20, atau dengan 2,500 Mata Ganjaran BIG.

Selain itu, pelanggan boleh menikmati tawaran seperti potongan rambut, rawatan muka dan tatarias kuku secara percuma dan tawaran beli satu percuma satu yang disediakan di lokasi yang berbeza.

Manakala, bagi syarikat yang berminat menjadi rakan kongsi AirAsia Deals, boleh melayari http://bit.ly/2DNT0AE.

Berita Harian X