Rabu, 18 Disember 2019 | 6:33pm
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Haris Fadzilah Hassan. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

FGV terima pensijilan pengurusan anti rasuah

KUALA LUMPUR: FGV Holdings Bhd (FGV) menerima pensijilan ISO 37001:2016 diiktiraf di peringkat antarabangsa untuk Sistem Pengurusan Anti Rasuah (ABMS), yang dilaksanakan di seluruh kumpulan sejak beberapa bulan yang lalu.

Berikutan analisis jurang komprehensif yang dijalankan pada awal 2019, program latihan dan bengkel setakat ini membabitkan hampir 80 peratus pekerja.

SIRIM QAS, badan penilaian pematuhan yang diakui oleh Jabatan Standard Malaysia dan Perkhidmatan Akreditasi United Kingdom, menjalankan audit menyeluruh untuk mengesahkan bahawa pelancaran ABMS di FGV adalah menyeluruh dan berkesan.

Standard ISO 37001:2016 memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan dalam Seksyen 17A Akta SPRM 2009 (Pindaan) dan Garis Panduan Prosedur Adil yang akan berkuat kuasa mulai 1 Jun 2020.

Standard ini adalah panduan untuk membantu organisasi menubuhkan, melaksanakan, menyelenggara dan meningkatkan program anti-rasuah.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Haris Fadzilah Hassan, berkata bagi ABMS benar-benar berkesan, kumpulan perlu memastikan setiap pekerja peka dan terlatih, untuk mencegah perbuatan rasuah atau sogokan daripada berlaku.

“Kami sudah memastikan semua peringkat, daripada proses tender hinggalah ke manipulasi sistem penggredan dalam operasi, pembayaran kepada vendor dan juga pengambilan pekerja di bawah pantauan ABMS.

“Pantauan ini akan memainkan peranan penting dalam mengenal pasti dan menutup beberapa jurang yang masih atau mungkin masih ada.

“Ini akan membantu kami memperbaiki kecekapan dan keberkesanan kami dalam menguruskan risiko yang berkaitan dengan rasuah dan juga melindungi perniagaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Di FGV, terdapat tiga bidang fokus utama iaitu penipuan, penyalahgunaan kuasa dan rasuah.

SIRIM menjalankan audit pertama bagi 28 kawasan di FGV, kedua-duanya di peringkat operasi dan korporat, antara 31 Julai dan 15 Ogos 2019.

Empat lagi kawasan kini sedang diaudit.

Pasukan Integriti dan Tadbir Urus menghabiskan masa kira-kira enam bulan untuk memperkenalkan ABMS melalui siri latihan, bengkel dan program kesedaran lain berkaitan ISO 37001: 2016.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X