Selasa, 31 Disember 2019 | 9:49pm

TDM ambil alih kepentingan TH Plantations dalam unit Terengganu

KUALA LUMPUR: TH Plantations Bhd (THP) memeterai satu perjanjian dasar induk (HoA) dengan TDM Bhd untuk menjual keseluruhan kepentingan sebanyak 70 peratus dalam THP-YT Plantation Sdn Bhd, yang memiliki 2,594.5 hektar tanah ladang di Terengganu.

Sebagai balasan, TDM akan membayar tunai RM7 juta serta TDM dan/atau Yayasan Terengganu, yang memiliki kira-kira 30 peratus kepentingan ekuiti dalam THP-YT Plantation, akan menyelesaikan pendahuluan yang diberikan oleh Kumpulan THP yang berjumlah RM78.68 juta, kata TDM dan THP dalam makluman berasingan kepada Bursa Malaysia hari ini.

THP-YT memiliki tiga petak tanah ladang di daerah Setiu, Terengganu. Daripada 2,594.5 hektar, kebanyakan (2,307 hektar) telah ditanam dengan kelapa sawit dengan profil usia antara dua hingga sembilan tahun, kata TDM, yang majoritinya dimiliki oleh kerajaan Terengganu.

HoA itu juga akan membolehkan kedua-dua dua pihak untuk berunding dan memuktamadkan terma perjanjian bagi cadangan perjanjian penjualan saham dan perjanjian penyelesaian yang dicadangkan, yang akan dilaksanakan dalam tempoh lapan minggu selepas pelaksanaan HoA.

Menurut TDM lagi, estet yang terletak berhampiran dengan ladang TDM sedia ada dan kilang minyak sawitnya, akan mengoptimumkan kapasiti pemprosesan dan mengurangkan kos pemprosesan kilang bagi setiap tan metrik buah tandan segar di kilang Sungai Tong.

Selepas pengambilalihan selesai, jumlah kawasan kelapa sawit yang ditanam kepunyaan TDM di Terengganu akan meningkat kepada 33,653 hektar daripada 31,346 hektar, katanya.

Pengerusi TDM, Raja Datuk Idris Raja Kamarudin, dalam satu kenyataan berkata, pengambilalihan itu adalah sebahagian daripada strategi keseluruhan kumpulan untuk meningkatkan profil umur secara purata, mengurangkan ketidakstabilan dalam perolehan termasuk mengukuhkan kedudukannya supaya kekal kompetitif dalam pasaran yang sangat mencabar.

Mengenai cadangan penyelesaian untuk bahagian pendahuluan antara syarikat oleh THP-YT kepada subsidiari THP, THP Suria Mekar Sdn Bhd, kedua-dua pihak berkata sebahagian daripada pendahuluan yang berjumlah RM62 juta akan diselesaikan dengan menggunakan kemudahan bank selain daripada pendahuluan pemegang saham oleh TDM dan Yayasan Terengganu. - BERNAMA

Berita Harian X