Khamis, 2 Januari 2020 | 2:16pm
PENGARAH Urusan Powerwell Holdings Bhd, Jason Tham (empat dari kiri) pada majlis pelancaran prospektus Powerwell Holdings Bhd di Kuala Lumpur. NSTP/Salhani Ibrahim

IPO Powerwell disasar raih dana RM21.85 juta

KUALA LUMPUR: Powerwell Holdings Bhd (Powerwell) yang akan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Bhd (Bursa Malaysia) akhir bulan ini menyasar untuk meraih dana RM21.85 juta daripada tawaran awam permulaan (IPO).

Jumlah berkenaan bakal dijana menerusi tawaran 145.46 juta saham dengan harga IPO 25 sen sesaham.

Pengarah Eksekutif (Pentadbiran) Powerwell, Catherine Wong, berkata daripada jumlah berkenaan, syarikat akan memperuntukkan sebanyak RM10.27 juta bagi tujuan perbelanjaan modal.

Katanya, ia termasuklah pembelian peralatan dan jentera mesin bagi menambah baik sistem ‘Enterprise Resourse Planning’ (ERP) Powerwell dan juga perkakasan berkaitan.

“Selain itu, RM3.87 juta juga akan diperuntukkan bagi tujuan perbelanjaan pensijilan dan RM3.62 juta bagi modal kerja. Baki RM4.10 juta juga diperuntukkan bagi anggaran perbelanjaan penyenaraian,” katanya pada sidang media sempena pelancaran prospektus Powerwell di sini, hari ini.

Hadir sama pada majlis berkenaan adalah Pengarah Urusan Powerwell, Jason Tham; Pengarah Eksekutif (Operasi), Ricky Lee serta Pengarah Ketua Kewangan Korporat Mercury Securities Sdn Bhd, Denis Lim.

Powerwell dan anak syarikatnya secara prinsipal terbabit dengan rekaan, pengeluaran dan dagangan dalam produk pengedaran elektrik yang merangkumi ‘switchboards’ bervoltan rendah, ‘switchgears’ bervoltan sederhana dan produk lain yang berkaitan.

Pada masa ini, selain pasaran tempatan, Powerwell juga membekalkan produknya ke beberapa projek di luar negara termasuklah di Vietnam, Bangladesh, Indonesia, Filipina, Kemboja, Singapura, Pakistan, Myanmar, Dubai dan Jepun.

Syarikat berkenaan juga telah melantik pengedar di Bangladesh, Indonesia, Singapura, Filipina dan Pakistan.

Mengulas lanjut, Wong berkata, pihaknya akan terus meneroka peluang yang ada dalam projek berkaitan sektor pembinaan serta elektrik dan eletronik di dalam dan luar negara.

“Memandangkan semua projek yang kami jalankan pada masa ini adalah berdasarkan kontrak, maka kami terus agresif dalam meneroka projek baharu,” katanya.

Berita Harian X