Rabu, 8 Januari 2020 | 2:12pm
PRESIDEN dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Ikhlas Family Bhd, Mohd Din Merican (dua dari kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif Manulife Insurance Bhd (MIB), Lee Sang Hui (dua dari kiri) pada majlis memeterai memorandum persefahaman (MoU) kedua-dua syarikat di Kuala Lumpur. Foto BERNAMA.
PRESIDEN dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Ikhlas Family Bhd, Mohd Din Merican (dua dari kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif Manulife Insurance Bhd (MIB), Lee Sang Hui (dua dari kiri) pada majlis memeterai memorandum persefahaman (MoU) kedua-dua syarikat di Kuala Lumpur. Foto BERNAMA.

Kerjasama Manulife, Takaful IKHLAS tembusi pasaran

KUALA LUMPUR: Manulife Insurance Bhd (MIB) menjalin kerjasama strategik dengan Takaful Ikhlas Family Bhd (Takaful IKHLAS) untuk menembusi pasaran takaful di Malaysia yang dilihat mempunyai potensi pertumbuhan kukuh.

Kerjasama strategik selama lima tahun itu membolehkan ejen MIB memasar dan menjual empat produk Takaful IKHLAS di negara ini.

Bagi Takaful IKHLAS pula, ia membolehkannya memperluaskan penguasaan pasaran dalam pasaran takaful tempatan dengan memanfaatkan ejen Manulife.

Ketua Pegawai Eksekutif MIB, Lee Sang Hui, berkata kerjasama strategik itu tepat pada masanya dan menyediakan peluang pertumbuhan besar yang mana akan memanfaatkan kedua-dua pihak.

Beliau berkata, kerjasama strategik itu dijangka menjana premium perniagaan baharu berjumlah RM30 juta dalam tempoh lima tahun kepada Takaful IKHLAS.

“Tumpuan kami adalah untuk memberikan pelanggan pilihan yang lebih pelbagai. Kerjasama strategik ini akan memanfaatkan kedua-dua pihak,” katanya pada majlis menandatangani kerjasama strategik antara kedua-dua syarikat di sini, hari ini.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful IKHLAS, Mohd Din Merican, berkata kerjasama berkenaan adalah sebagai sebahagian strategi penegndali takaful itu untuk memperluaskan ejennya dan menembusi pasaran baharu.

Beliau berkata, kerjasama strategik itu akan memberi tumpuan kepada empat produk Takaful IKHLAS iaitu IKHLAS Preferred Term Takaful, IKHLAS Savings Prime Takaful, IKHLAS Education Plus dan IKHLAS Wanita Elegance.

“Dengan potensi pertumbuhan yang tinggi dan peningkatan permintaan bagi takaful, kerjasama strategik ini dijangka menyumbang kepada pertumbuhan kedua-dua pihak.

“Kerjasama ini juga akan memperkukuhkan lagi Takaful IKHLAS dan MIB dalam menyediakan produk perlindungan takaful kepada rakyat Malaysia,” katanya.

MIB adalah anak syarikat milik penuh Manulife Holdings Bhd, yang mana adalah anggota kumpulan perkhidmatan kewangan yang berpangkalan di Kanada, Manulife Financial Corporation.

Takaful IKHLAS pula adalah penyedia perkhidmatan perlindungan kewangan Islam yang menawarkan produk takaful keluarga dan takaful am secara komprehensif dan ia mempunyai kira-kira dua juta pemegang polisi berdaftar dan lebih 5,000 ejen.

Berita Harian X