Isnin, 13 Januari 2020 | 2:17pm
T7 Global Bhd
T7 Global Bhd

T7 Global peroleh kontrak daripada Repsol

KUALA LUMPUR: T7 Global Bhd meraih kontrak daripada Repsol Oil & Gas Malaysia Bhd untuk menyediakan perkhidmatan penyelenggaraan, pembinaan dan pengubahsuaian di luar pesisir.

Ia membabitkan Blok PM3-CAA antara Malaysia dan Vietnam serta Blok PM-305 terletak di luar pesisir Terengganu.

Nilai kontrak lima tahun itu adalah mengikut setiap kerja yang diperlukan oleh Repsol.

T7 Global dalam kenyataannya kepada Bursa Malaysia berkata, anak syarikat milik penuhnya, Tanjung Offshore Services Sdn Bhd menerima surat penganugerahan bagi kontrak itu daripada Repsol.

Ia berkata, kontrak dijangka menyumbang secara positif kepada perolehan dan aset bersih sesaham kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020.

“Kami berbangga dianugerahkan kontrak ini oleh Repsol yang mencerminkan kekuatan keupayaan pakar kami di Malaysia. Kontrak ini adalah bukti kerjasama kukuh kami bersama Repsol.

“Dengan penambahan berterusan kontrak dalam tangan, kami yakin mengekalkan momentum pertumbuhan untuk beberapa tahun akan datang,” kata Pengerusinya, Datuk Seri Dr Nik Norzul Thani N Hassan Thani dalam kenyataan berasingan.

Berita Harian X