Selasa, 14 Januari 2020 | 7:06pm
KETUA Bahagian Perbankan Perniagaan Bank Muamalat, Hamidah Abu Bakarah Abu Bakar bertukar dokumen perjanjian bersama Naib Presiden SIRIM, Ir Dr Mohamad Jamil Sulaiman (kanan) sambil diperhatikan Ketua Pegawai Eksekutif SIRIM, Prof Ir Dr Ahmad Fadzil Mohd Hani (dua kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat Khairul Kamarudin (dua kiri) pada Majlis MoU antara Bank Muamalat dan SIRIM di Kuala Lumpur. NSTP/Rosdan Wahid.

Bank Muamalat sedia RM10 juta biaya PKS pembuatan

KUALA LUMPUR: Bank Muamalat Malaysia memperuntukkan sebanyak RM10 juta sebagai fasiliti pembiayaan kepada 200 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam sektor perkhidmatan berkaitan pembuatan bawah program SIRIM-Fraunhofer.

Ketua Bahagian Perbankan Perniagaan Bank Muamalat, Hamidah Abu Bakar, berkata melalui kerjasama SIRIM, bank itu boleh memenuhi keperluan kewangan PKS dan membantu mempertingkatkan produktiviti mereka melalui penggunaan teknologi untuk kekal kompetitif dengan Revolusi Industri Keempat Revolusi (IR 4.0).

“Program itu akan menyediakan PKS yang layak dengan geran berdasarkan kepada prinsip 80:20, yang mana 80 peratus pemberian akan diberikan dalam bentuk geran daripada SIRIM manakala baki akan disediakan oleh bank dalam bentuk pinjaman,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa majlis pertukaran dokumen Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Bank Muamalat dan SIRIM Bhd di sini, hari ini.

Menurut Nor Hamidah, kemudahan pembiayaan maksimum adalah sebanyak RM50,000 bagi setiap PKS manakala geran boleh mencecah sehingga RM200,000, yang akan disalurkan dalam bentuk jentera dan peralatan.

Sementara itu, Naib Presiden SIRIM Industrial Research, Ir Dr Mohamad Jamil Sulaiman, berkata sejumlah 681 syarikat telah mengambil bahagian dalam program SIRIM-Fraunhofer sejak 2016 hingga 2019, yang mengambil pendekatan Institut Fraunhofer Jerman yang telah berjaya membantu banyak syarikat di Eropah.

“Syarikat-syarikat itu telah melalui audit teknologi di bawah program yang dijalankan oleh juruaudit bertauliah yang terdiri daripada penyelidik serta jurutera SIRIM.

“Ia menyediakan saluran untuk syarikat menilai keupayaan pengurusan teknologi mereka dan memahami kekuatan serta kelemahan mereka termasuk penambahbaikan dalam bidang yang berpotensi,” katanya.

Mohamad Jamil berkata, dalam program SIRIM-Fraunhofer yang terdahulu, SIRIM memperuntukkan 80 peratus geran manakala PKS perlu menyumbang 20 peratus daripada jumlah kos projek.

Beliau menambah, SIRIM mengakui bahawa ada PKS tertentu yang mempunyai masalah untuk menyediakan sumbangan terbabit.

“Disebabkan itu, ada projek yang telah diluluskan tetapi tidak dapat dilaksanakan, ini menghalang PKS untuk beroleh kelebihan penuh,” katanya.

Bank Muamalat adalah institusi pertama yang menawarkan bantuan kewangan kepada PKS di bawah program ini.

Pada majlis berkenaan, Bank Muamalat diwakili oleh Nor Hamidah dan Mohamad Jamil mewakili SIRIM.

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Khairul Kamarudin dan Presiden SIRIM serta Ketua Eksekutif Kumpulan, Prof Ir Dr Ahmad Fadzil Mohamad Hani.

-BERNAMA

Berita Harian X