Selasa, 21 Januari 2020 | 2:59pm

Air France-KLM, JAL minat beli saham Malaysia Airlines

KUALA LUMPUR/SINGAPURA: Cadangan untuk melabur dalam Malaysia Airlines termasuk daripada Air France-KLM yang berminat memperoleh sehingga 49 peratus saham dalam syarikat penerbangan nasional itu, manakala Japan Airlines (JAL) menyasarkan 25 peratus kepentingan, kata sumber.

AirAsia Group Bhd dan Malindo Air, unit domestik Lion Air, juga sudah menghantar cadangan, kata sumber terbabit.

“Bidaan daripada syarikat penerbangan asing adalah lebih komprehensif dan strategik, kerana kedua-duanya merancang untuk memanfaatkan lokasi strategik Malaysia bagi operasi masing-masing,” kata salah seorang sumber.

Kerajaan sedang mencari rakan strategik bagi Malaysia Airlines, yang berdepan masalah pulih daripada dua tragedi iaitu kehilangan misteri pesawat MH370 dan nahas MH17 yang ditembak jatuh di timur Ukraine.

Pada 2014, ia dijadikan syarikat persendirian oleh Khazanah Nasional Bhd, yang membayar RM1.4 bilion untuk mendapatkan 30 peratus saham belum dimiliki dana kekayaan kerajaan itu.

Sumber enggan dikenali kerana perbincangan terbabit adalah sulit.

Wakil Air France-KLM, Japan Airlines (JAL), AirAsia dan Malindo tidak memberikan maklum balas segera bagi mendapatkan kenyataan.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, semalam berkata lima cadangan sudah diterima sebagai sebahagian kajian yang bermula tahun lalu, namun enggan menamakan pihak terbabit.

Malaysia Airlines tahun lalu memeterai perjanjian usaha sama dengan JAL, bagi penerbangan antara Malaysia dan Jepun, yang dikatakan oleh JAL akan dikembangkan pada masa akan datang bagi meliputi penerbangan Amerika Syarikat (AS).

Malaysia Airlines dan JAL kedua-duanya adalah anggota pakatan penerbangan oneworld, manakala Air France-KLM adalah anggota pakatan pesaing, SkyTeam.

Khazanah, yang tahun lalu melantik Morgan Stanley untuk menasihatkan potensi opsyen bagi syarikat penerbangan itu berkata ia sedang bekerjasama rapat dengan kerajaan.

“Walaupun terdapat beberapa cadangan berhubung perkara ini, semakan terhadap opsyen yang ada masih berjalan,” kata Khazanah dalam satu kenyataan.

Sumber berkata, Air France-KLM mengemukakan cadangan untuk menubuhkan hab perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih di Malaysia, manakala JAL menawarkan untuk menjadikan Malaysia sebagai hab serantau, termasuk bagi penerbangan tambang rendah.

“Satu penyelesaian antarabangsa mungkin lebih baik dalam situasi ini kerana AirAsia akan mempunyai kebimbangan berhubung persaingan,” kata salah seorang sumber.

“Ia masih lagi berjalan, namun masih lagi berkusar kepada potensi sebuah hab besar di Asia Tenggara dan adalah jelas syarikat penerbangan antarabangsa melihat nilai dalam Malaysia Airlines disebabkan ini,” kata sumber itu.

-Reuters

Berita Harian X