Selasa, 21 Januari 2020 | 6:34pm

Scomi Energy disenarai syarikat PN17

KUALA LUMPUR: Scomi Energy Services Bhd mencetuskan kriteria yang tertakluk kepada Perenggan 2.1(e) Nota Amalan No 17 (PN17) Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Securities.

Bursa Malaysia Securities Bhd dalam kenyataannya berkata, ia akan terus memantau perkembangan syarikat itu berhubung pematuhannya terhadap Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama.

“Setakat 21 Januari 2020, terdapat sejumlah 27 syarikat di bawah PN17 dan GN3 yang mewakili 2.99 peratus daripada 901 syarikat yang disenaraikan di Pasaran Utama dan Pasaran ACE Bursa Securities,” katanya.

Saham Scomi Energy dan syarikat induknya, Scomi Group Bhd digantung urus niaga hari ini menjelang pengumuman itu.

Scomi Group memiliki 65.64 peratus kepentingan dalam Scomi Energy.

Sebelum digantung, harga saham Scomi Group ditutup 1.5 sen atau 25 peratus pada 4.5 sen untuk permodalan pasaran RM43.21 juta.

Saham Scomi Energy pula susut satu sen atau 12.5 peratus kepada 7.0 sen untuk permodalan pasaran RM163.91 juta.

Berita Harian X