Selasa, 21 Januari 2020 | 7:19pm

Pengeluar kasut sukan China dinyahsenarai dari Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR: Urus niaga dalam sekuriti pengeluar kasut sukan dari China, Multi Sports Holdings Ltd di Bursa Malaysia akan digantung berkuatkuasa 29 Januari dan dinyahsenaraikan pada 31 Januari 2020.

Penggantungan ini dibuat, berikutan kegagalan syarikat untuk mematuhi tanggungjawab bagi membuat peraturan pengemukaan pelan penyusunan semula, di samping mendapatkan kelulusan Bursa Malaysia Securities Bhd untuk pelan penyusunan semula dalam tempoh masa yang ditetapkan.

“Sekuriti syarikat akan dinyahsenarai melainkan rayuan terhadap nyahsenarai itu dikemukakan kepada Bursa Securities pada atau sebelum 28 Januari.

“Apa-apa rayuan yang dikemukakan selepas tempoh rayuan tidak akan dipertimbangkan oleh Bursa Securities,” kata Multi Sports Holdings dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

-BERNAMA

Berita Harian X