Khamis, 23 Januari 2020 | 3:01pm
Azrul Osman (kiri) menyerahkan sagu hati kepada pelanggan pada pelancaran Kempen Coffee Break PETRONAS di Kuala Lumpur. - NSTP/Mustaffa Kamal

Tawaran istimewa Kempen Coffee Break

KUALA LUMPUR: Pelanggan bakal menikmati pelbagai keistimewaan ke atas barangan PETRONAS, produk Kedai Mesra, Setel, Tealive, Dunkin’, Shopee dan Touch ‘n’ Go pada Kempen Coffee Break sempena perayaan Tahun Baharu Cina.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Dagangan Bhd (PDB), Azrul Osman Rani, berkata eksklusif untuk pelanggan PETRONAS, syarikat itu mahu menghargai pelanggan dengan manfaat lebih besar.

“Bersama dengan rakan niaga, kami mengumpul semua jenama dan produk yang berkaitan untuk pelanggan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada majlis pelancaran Kempen Coffee Break PETRONAS di sini, hari ini.

Kempen Coffee Break PETRONAS berlangsung pada 23 hingga 24 Januari dan 1 hingga 2 Februari 2020.

Seperti tradisi tahunan, PDB akan menawarkan kopi Nescafé dan makanan ringan percuma di 160 stesen minyak terpilih di seluruh negara.

Rakan kempen PETRONAS termasuk Nestlé Products Sdn Bhd, Julie’s Marketing Sdn Bhd, Delfi Marketing Sdn Bhd dan Adabi Consumer Industries Sdn Bhd.

Bagi memastikan keselamatan, PDB dengan kerjasama Hong Leong Yamaha Motor Sdn Bhd (HLYM) mengadakan pemeriksaan motosikal secara percuma dan pemantauan kesihatan oleh St John Ambulance Malaysia (SJAM) di stesen terpilih.

Bagi menggalakkan penggunaan aplikasi Setel, PDB menawarkan pulangan tunai RM5 bagi pengguna baharu yang mendaftar Setel dan menambah nilai RM30 dompet elektronik (e-dompet).

Lebih menarik, pengguna akan menikmati pulangan tunai RM5 apabila rakan mengisi bahan api dengan jumlah minimun RM30, jika memperkenalkan Setel kepada rakan.

Berita Harian X