Khamis, 23 Januari 2020 | 4:38pm
KETUA Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed menerima anugerah daripada Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.
KETUA Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed menerima anugerah daripada Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Bank Islam diiktiraf antara pembiaya utama PKS

KUALA LUMPUR: Bank Islam Malaysia Bhd diiktiraf satu daripada lima pembiaya utama menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan, termasuk dalam sektor minyak dan gas, tenaga, ekonomi sebenar serta syarikat pemula.

Peka terhadap keperluan sokongan kewangan yang kukuh demi pertumbuhan perniagaan, Bank Islam menjalin kerjasama dengan kerajaan dan beberapa agensi untuk memudahkan proses pembiayaan, khususnya untuk PKS.

Pada 2019, Bank Islam meluluskan pembiayaan berjumlah RM387.4 juta dan mengagihkan sejumlah RM197.4 juta di bawah skim jaminan Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) kepada pelanggan PKS bagi pengukuhan perniagaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed menerima anugerah sebagai menghargai peranan bank menyediakan pembiayaan kepada PKS pada Majlis Pelancaran Belanjawan 2020 SJPP, baru-baru ini.

Anugerah disampaikan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Mohd Muazzam berkata, Program Pembiayaan Vendor Bank Islam,

hasil kerjasama dengan PETRONAS, Tenaga Nasional Bhd (TNB) dan Sarawak Energy Berhad yang dijamin oleh SJPP, memberi fokus untuk menyokong PKS dalam sektor minyak dan gas serta tenaga.

“Pembiayaan ini memberi ruang dan peluang untuk usahawan PKS

menyempurnakan kontrak mereka.

“Selain sektor minyak dan gas serta tenaga, Bank Islam juga menyediakan dorongan kepada usahawan yang terbabit dalam sektor lain melalui penganjuran program bertumpukan keperluan pelanggan seperti SME BIZ Financing, SME BIZ Grow dan SME Start-up,” katanya.

Berita Harian X