Isnin, 3 Februari 2020 | 8:59pm
Ketua Pegawai Pemasaran dan Pengalaman Pelanggan Kumpulan Malaysia Airlines, Lau Yin May.
Ketua Pegawai Pemasaran dan Pengalaman Pelanggan Kumpulan Malaysia Airlines, Lau Yin May.

Malaysia Airlines, Public Bank kerjasama tawar pembayaran menerusi FPX

KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines memeterai kerjasama dengan Public Bank Bhd untuk menerima pembayaran bagi pembelian tiket dalam talian menggunakan FPX.

FPX adaah gerbang pembayaran dalam talian yang utama di Malaysia, ia dikendalikan oleh Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet).

Menerusi FPX, pelanggan syarikat penerbangan kini boleh membeli tiket penerbangan mereka, menggunakan wang dalam akaun semasa, simpanan dan akaun kad kredit mereka yang dikendalikan Public Bank, Public Islamic Bank, dan 29 bank lain di Malaysia.

Ketua Pegawai Pemasaran dan Pengalaman Pelanggan Kumpulan Malaysia Airlines, Lau Yin May, berkata perkongsian itu menunjukkan komitmen syarikat penerbangan ke arah meningkatkan pengalaman pelanggannya dengan memperkenalkan pilihan pembayaran mudah.

“Pelanggan yang memilih untuk membayar dengan FPX tidak akan membayar sebarang caj perkhidmatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Perkongsian ini adalah sejajar dengan inisiatif Bank Negara Malaysia untuk beralih daripada pembayaran secara manual kepada ePayments.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Public Bank (CEO), Tan Sri Tay Ah Lek, berkata bank itu adalah yang pertama di negara ini untuk melancarkan Standard QR (respons pantas) Nasional Malaysia dikenali sebagai Duitnow QR dengan PayNet.

“Bank juga berada pada landasan untuk membawa penyelesaian pembayaran yang baharu dan inovatif kepada pelanggan runcit dan pelanggan perniagaan kami,” katanya.

CEO Paynet Group, Peter Schiesser berkata pada tahun 2019, FPX memproses sebanyak 236 juta urusniaga, sementara peniaga dalam talian menerima pembayaran berjumlah RM117 bilion melalui FPX, menjadikannya gerbang pembayaran dalam talian masa sebenar utama di Malaysia untuk laman web e-dagang.

Untuk meningkatkan kesedaran tentang pembayaran FPX di Malaysia Airlines, syarikat penerbangan itu melancarkan pertandingan ‘Travel and Win’ melalui pertandingan FPX yang berlangsung dari 30 Januari hingga 29 Februari 2020, di mana pelanggan berpeluang memenangi sepasang tiket penerbangan Kelas Perniagaan ke London serta penginapan hotel selama tujuh hari/enam malam oleh MH Holidays bersama 80,000 Enrich Miles.

Hadiah-hadiah lain termasuk tiket kelas ekonomi dan penginapan di Sydney dan Bali.

Enrich, program kesetiaan Malaysia Airlines, juga menawarkan dua hadiah harian kepada mereka yang berbelanja paling banyak dalam sehari.

Untuk layak menyertai pertandingan ini, pelanggan perlu membuat pembayaran FPX sekurang-kurangnya RM100 untuk tiket penerbangan atau pembelian tambahan di laman web atau aplikasi mudah alih Malaysia Airlines dan mendaftar secara percuma di Enrich. - Bernama

Berita Harian X