Selasa, 4 Februari 2020 | 3:26pm
AirAsia
AirAsia

AirAsia umum laluan baharu KL-Ahmedabad

SEPANG: AirAsia mengumumkan laluan baharu yang menghubungkan Kuala Lumpur ke Ahmedabad, India mulai 29 April ini.

Dalam kenyataannya, AirAsia berkata pengenalan laluan baharu itu adalah susulan pengumuman India pada tahun lalu untuk mengurangkan fi visa pelancong elektronik daripada AS$100 (e-visa pelancong - kemasukan berbilang kali setahun) kepada AS$10 (e-visa pelancong 30 hari bagi April hingga Jun; AS$5 bagi Julai hingga Mac) bagi warga Malaysia yang layak.

AirAsia berkata, laluan baharu itu akan menyemarakkan lagi pasaran yang rancak bagi 62 juta penduduk di Gujarat, India Barat.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X Malaysia, Benyamin Ismail, berkata syarikat penerbangan itu mencatatkan beberapa jualan tertinggi di semua destinasi penerbangannya ke India, termasuk laluan baharu dari Kuala Lumpur ke Ahmedabad.

“India destinasi yang mesti dilawati bagi kebanyakan pelancong dan kami yakin kempen promosi terkini dan rangkaian penerbangan yang diperluas akan meningkatkan pelancongan ke India dan menarik lebih ramai pelancong India untuk melawat Malaysia bersempena Tahun Melawat Malaysia 2020,” katanya.

Tambang termasuk semua bagi ahli dari Kuala Lumpur ke Ahmedabad ketika ini dibuka untuk tempahan di airasia.com daripada RM199 sehala bagi tempat duduk standard dan RM899 sehala bagi Premium Flatbeds.

Promosi ini akan berlangsung sehingga 19 Februari untuk perjalanan dari 29 April hingga 30 Oktober 2020.

-BERNAMA

Berita Harian X