X
Rabu, 5 Februari 2020 | 3:31pm

FWD Takaful sedia program sokongan pesakit kanser

KUALA LUMPUR: FWD Takaful Bhd menawarkan Program Terapeutik Digital kepada pelanggan pelan kanser takaful keluarganya yang dikenali FWD Care Direct, menerusi kerjasama strategik dengan Naluri Hidup Sdn Bhd.

Ketua Pegawai Eksekutif FWD Takaful, Salim Majid Zain, berkata program itu membolehkan pihaknya memberikan perkhidmatan nilai tambah secara pilihan kepada pelanggan pelan takaful yang diperkenalkan pada Oktober tahun lalu.

Beliau berkata, program itu menjadikan pelan FWD Care Direct lebih menarik dan direka khusus untuk menyokong secara emosi, mental serta fizikal yang diperlukan pelanggan selepas dikenal pasti mengidap kanser.

Katanya, menerusi kerjasama strategik Naluri Hidup, pelanggan FWD Care Direct boleh mengaktifkan akaun dengan pengendali program rawatan digital itu ketika membuat tuntutan sebagai pendekatan menyeluruh penyelenggaraan kesihatan pasca diagnosis.

“Di FWD Takaful, matlamat kami adalah untuk mengubah apa yang dirasakan orang ramai terhadap takaful.

“Ini bermakna menunjukkan kepada orang ramai bahawa kami ada untuk mereka dan membantu mencapai kesihatan yang lebih baik,” katanya pada majlis memeterai perjanjian kerjasama antara FWD Takaful dan Naluri Hidup di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Strategi dan Pengedaran Digital FWD Takaful, Wan Ahmad Najib Wan Ahmad Lotfi dan Pengasas Bersama merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Naluri Hidup, Azran Osman Rani.

Pelan FWD Care Direct adalah pelan takaful yang boleh dipohon secara dalam talian dan menyediakan perlindungan segera bermula RM100,000 hingga RM250,000.

Pelan menawarkan pembayaran 100 peratus sebaik dikenal pasti mengidap kanser, meskipun di peringkat awal, bagi membantu pelanggan mendapatkan rawatan kanser.

Selain daripada perlindungan individu, FWD Care Direct juga menawarkan perlindungan kanser bagi keseluruhan keluarga seramai empat orang dalam satu pelan tunggal.

Anggota keluarga boleh terus menikmati manfaat meskipun selepas pemilik sijil disahkan kanser.

Salim (dua dari kiri) bertukar dokumen perjanjian bersama Azran (dua dari kanan) pada majlis memeterai perjanjian kerjasama antara FWD Takaful dan Naluri Hidup di Kuala Lumpur, hari ini. - NSTP/Mustaffa Kamal
Salim (dua dari kiri) bertukar dokumen perjanjian bersama Azran (dua dari kanan) pada majlis memeterai perjanjian kerjasama antara FWD Takaful dan Naluri Hidup di Kuala Lumpur, hari ini. - NSTP/Mustaffa Kamal
Berita Harian X