Isnin, 10 Februari 2020 | 7:04pm
PUBLIC Bank
PUBLIC Bank

Public Bank tawar moratorium pelanggan terkesan coronavirus

KUALA LUMPUR: Public Bank menawarkan moratorium sehingga enam bulan bagi bayaran ansuran bulanan untuk pinjaman dan pembiayaan kepada pelanggan individu serta peniagaan yang terkesan oleh penularan coronavirus.

Bank juga akan menyesuaikan permintaan oleh pelanggan terbabit untuk menstruktur atau menjadualkan semula pinjaman dan pembiayaan mereka, untuk membantu dari segi aliran tunai pada waktu sukar ini.

Pengarah Urusan Public Bank, Tan Sri Tay Ah Lek, berkata, bank bertimbang rasa terhadap pelanggan yang berdepan dengan kekangan

kewangan jangka pendek disebabkan oleh situasi luar jangkaan itu.

“Memandangkan kebimbangan mengenai jangkitan coronavirus semakin memuncak dan dijangka menjejaskan industri dan perniagaan, kami berharap Program Bantuan Relif ini akan membantu mengurangkan kesulitan yang dialami oleh pelanggannya,” katanya dalam satu kenyataan.

“Public Bank sentiasa bersedia untuk menyokong keperluan pelanggannya pada waktu sukar ini. Kami akan terus memantau keadaan dan menghulur bantuan sekiranya keadaan memerlukan,” katanya.

Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Bank Rakyat sebelum ini turut mengumumkan tawaran penangguhan sementara pembayaran pinjaman bagi pelanggan mereka iaitu usahawan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas akibat penularan coronavirus.

Berita Harian X