Selasa, 11 Februari 2020 | 4:12pm
Gambar fail, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Abdul Farid Alias. - Foto Syarafiq Abd Samad
Gambar fail, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Abdul Farid Alias. - Foto Syarafiq Abd Samad

Maybank tawar moratorium kepada pelanggan terkesan coronavirus

KUALA LUMPUR: Malayan Banking Bhd (Maybank) mengumumkan tawaran penangguhan pembayaran balik pinjaman sehingga enam bulan kepada pelanggannya yang terjejas akibat penularan coronavirus baharu (2019-nCoV).

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Abdul Farid Alias, memaklumkan bank itu turut menawarkan penstrukturan dan penjadualan semula pembiayaan.

Beliau berkata, kedua-dua inisiatif itu adalah sebahagian daripada program bantuan Maybank kepada pelanggan perniagaan, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta individu yang terjejas dengan 2019-nCoV.

Selain program bantuan itu, bahagian insuran Kumpulan Maybank, Etiqa, juga akan menyediakan perlindungan hospital kepada pemegang polisi insurans hayat dan takaful keluarga yang jatuh sakit akibat coronavirus.

“Kami prihatin dengan kesan yang dihadapi beberapa pelanggan kami daripada pelbagai industri, dan juga individu berikutan penyebaran wabak virus ini secara tiba-tiba

“Sebagai rakan kongsi kewangan, kami ingin memainkan peranan dengan membantu melegakan mereka daripada kesulitan tambahan ketika tempoh sukar ini, selaras misi kami untuk menginsankan perkhidmatan kewangan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Bank Rakyat turut mengumumkan tawaran penangguhan sementara pembayaran pinjaman bagi pelanggan mereka dalam kalangan usahawan PKS yang terjejas akibat 2019-nCoV.

Turut mengikut langkah sama adalah Public Bank yang menawarkan moratorium sehingga enam bulan bagi bayaran ansuran bulanan untuk pinjaman dan pembiayaan kepada pelanggan individu serta perniagaan yang terkesan oleh penularan coronavirus.

Mengulas lanjut, Abdul Farid menasihatkan pelanggan terjejas untuk menghubungi Maybank bagi membincangkan penyelesaian untuk mengatasi sebarang cabaran kewangan yang mungkin dihadapi mereka.

“Sekiranya keadaan ini berterusan, pihak bank akan mempertimbangkan kemungkinan melanjutkan moratorium dan program ini untuk tempoh yang lebih lama,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X