Isnin, 17 Februari 2020 | 3:39pm

Firefly tawar pakej percutian istimewa domestik

SUBANG: Firefly Sdn Bhd, menjalin kerjasama dengan Tourism Malaysia bagi menyediakan pelbagai pakej percutian domestik istimewa sempena Tahun Melawat Malaysia (VM) 2020.

Firefly turut menawarkan pakej percutian serendah RM211 termasuk tiket dan hotel ke destinasi, Pulau Langkawi.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Philip See, berkata Firefly turut menawarkan potongan diskaun 30 peratus untuk pelancong menikmati pelbagai pakej pelancongan menarik.

“Selain paparan logo VM2020 pada badan pesawat Firefly, pakej percutian ke Pulau Langkawi menjadi pembuka tirai kami dengan tempoh tempahan bermula 17 Februari hingga 13 Mac ini untuk tempoh perjalanan sehingga 30 Jun 2020.

“Kami yakin tawaran ini akan meningkatkan lagi jumlah pelancong ke seluruh Malaysia dan bagi mereka yang ingin menikmati lebih diskaun boleh memuat turun aplikasi mudah alih Firefly,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di majlis pelancaran Livery VM2020 Firefly di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Dr Noor Zari Hamat dan Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Musa Yusof dan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Pelancongan Seni, Budaya dan Pembangunan Keusahawanan Kedah, Mohd Asmirul Anuar Aris.

Terdapat 70 hotel terbabit di Langkawi dengan baucar penginapan percuma, aktiviti mengelilingi pulau dan tiket ke Crocodile Adventureland ditawarkan.

Ditanya mengenai impak wabak COVID-19 terhadap operasi Firefly, See berkata, impak diterima berlainan bergantung kepada laluan.

“Bagi segmen korporat agak terjejas sedikit, namun pelanggan dari segmen lain masih mendapat sambutan dan kami berharap setiap pakej ditawarkan Firefly dapat menarik lebih ramai pelancong serta merancakkan industri pelancongan negara,” katanya.

Berita Harian X