Selasa, 17 March 2020 | 12:17pm
BURSA Malaysia
BURSA Malaysia

Bursa Malaysia, pasaran modal beroperasi seperti biasa

KUALA LUMPUR: Pasaran modal tempatan, termasuk Bursa Malaysia akan beroperasi seperti biasa sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan selama 14 hari bermula esok berkuatkuasa.

Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti (SC), Datuk Syed Zaid Albar, berkata semua urus niaga akan terus beroperasi dengan cara yang adil dan teratur, dengan semua pengawasan peraturan yang diperlukan, telah diambil.

“SC telah mengambil langkah kesinambungan perniagaan termasuk penyediaan tapak sandaran, kemudahan pemulihan dan saluran komunikasi alternatif untuk mengenal pasti, mengurus dan mengurangkan potensi dan risiko baharu muncul.

“Ini akan membolehkan pelabur membuat keputusan yang tepat dan berpengetahuan dan melaksanakan perkara yang sama, tanpa halangan," katanya dalam satu kenyataan.

Dalam satu kenyataan berasingan, Bursa Malaysia Bhd berkata, ia mempunyai infrastruktur, peraturan dan proses yang diperlukan untuk melindungi dan mengekalkan pasaran yang adil dan teratur.

“Memastikan operasi pasaran diteruskan adalah penting untuk menyokong prinsip-prinsip mekanisme pasaran yang cekap dengan tiada, atau campur tangan yang minimum.

“Bagi memastikan keseragaman amalan pasaran, peraturan semakan kini diperluaskan kepada jualan singkat harian (IDSS) dan aktiviti jualan singkat yang dibenarkan bagi Akaun Pelaburan (IVT) dan ‘Market Maker’.

“Peraturan pemeriksaan juga akan dikenakan untuk aktiviti jualan singkat bagi dagangan harian proprietari (PDT),” katanya.

Bursa Malaysia berkata, peraturan semakan memerlukan arahan untuk dilaksanakan pada harga terbaik semasa yang diminta atau lebih tinggi berbanding daripada harga yang lebih tinggi daripada harga terakhir yang telah diluluskan sekuriti.

Pelaksanaan itu susulan pengumuman khas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai Perintah Kawalan Pergerakan selama dua minggu di seluruh negara bagi mengekang penyebaran COVID-19.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X