Rabu, 18 March 2020 | 5:34pm
HONG Leong Bank Bhd
HONG Leong Bank Bhd

Hong Leong sedia bantuan khas PKS

KUALA LUMPUR: Hong Leong Bank Bhd akan membantu pelanggannya dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas akibat pandemik COVID-19 menerusi Kemudahan Bantuan Khas (SRF) Bank Negara Malaysia (BNM) bagi mengekalkan operasi perniagaan mereka.

Di bawah pakej rangsangan ekonomi bernilai RM2 bilion yang diumumkan pada 27 Februari, SRF BNM itu bertujuan mengurangkan masalah aliran tunai jangka pendek yang dihadapi oleh PKS akibat penularan COVID-19.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Hong Leong Bank, Domenic Fuda, berkata PKS adalah kumpulan yang mudah terjejas akibat gangguan ekonomi dan perniagaan.

“PKS adalah pemacu utama kepada ekonomi kita, dan kami ada di sini untuk meringankan beban yang dialami oleh pelanggan,” katanya.

Fuda berkata, selain pengurangan kadar dasar semalaman terkini dan pelan bantuan kewangan pelanggan oleh bank itu yang telah diperkenalkan sebelum ini, SRF BNM itu akan menyediakan lebih perlindungan kepada PKS yang ketika ini mengalami masalah aliran tunai.

“Langkah ini akan memberikan mereka peluang untuk meningkatkan sumber. Oleh itu, mereka boleh bangkit semula apabila keadaan semakin baik,” katanya.

-BERNAMA

Berita Harian X