Khamis, 19 March 2020 | 4:45pm
PUBLIC Bank Bhd
PUBLIC Bank Bhd

COVID-19: Public Bank segerakan kelulusan bantuan kewangan

KUALA LUMPUR: Public Bank Bhd menjalin kerjasama dengan Bank Negara Malaysia untuk menawarkan kemudahan bantuan khas kepada pelanggan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Pengarah Urusan Public Bank, Tan Sri Tay Ah Lek, berkata pihaknya meningkatkan proses dalaman dengan menyegerakan kelulusan serta pengeluaran pinjaman dan pembiayaan untuk membantu PKS yang layak.

“Ia bagi mengatasi kekangan kewangan berikutan keadaan sukar pada masa ini. Dengan penularan COVID-19, Public Bank akan terus aktif dalam menyediakan langkah relif kewangan bagi membantu pelanggan untuk mengurangkan kesulitan kewangan yang dihadapi oleh mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

PKS yang berhasrat untuk memohon Kemudahan Relif Khas diminta merujuk mana-mana cawangan Public Bank atau e-mel [email protected] untuk nasihat dan bantuan kewangan.

Untuk pelanggan individu dan perniagaan yang terkesan dengan penularan COVID-19 ini, Public Bank menawarkan moratorium segera sehingga enam bulan untuk ansuran bulanan bagi pinjaman dan pembiayaan.

Selain itu, bank juga akan menerima permintaan daripada pelanggan yang terjejas untuk menstruktur semula atau menjadualkan semula pinjaman dan pembiayaan mereka, untuk membantu aliran tunai mereka.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X