Isnin, 23 March 2020 | 2:53pm
AXIATA Group Bhd
AXIATA Group Bhd

Urus niaga Axiata, Telenor temui jalan buntu

SINGAPURA: Pergolakan politik tempatan dan penularan COVID-19 menganggu rundingan urus niaga membabitkan syarikat mudah alih terbesar negara, Axiata Group Bhd, kata sumber yang rapat dengan perkara itu.

Beliau berkata, rundingan semula potensi urus niaga antara pemegang saham terbesar dalam Axiata dan pengendali dari Norway, Telenor ASA yang bermula awal tahun ini telah terhenti.

Perubahan dalam kerajaan, pada ketika Axiata melaksanakan peralihan kepimpinannya telah menyebabkan eksekutif dan penasihat tidak pasti mengenai siapa yang akan meneruskan urus niaga terbabit, kata individu yang rapat dengan perkara itu.

Khazanah Nasional Bhd adalah pemegang saham terbesar Axiata dengan 37 peratus kepentingan

Sayap pelaburan kerajaan itu dan Telenor sedang dalam peringkat awal meneroka beberapa senario kemungkinan, termasuklah Telenor membeli sebahagian kepentingan Khazanah dalam Axiata.

Pembelian kepentingan itu akan merintis jalan untuk urus niaga berikutnya, seperti penggabungan aset menara Axiata dan Telenor, atau penggabungan dalam sebahagian pasaran, menurut indvidu berkenaan.

Satu lagi pilihan termasuklah penggabungan dan penyenaraian operasi pasaran utama kedua-dua syarikat telekomunikasi itu.

COVID-19 juga turut menambah ketidakpastian perjanjian berkenaan, kata sumber itu.

Malaysia mencatatkan jangkitan COVID-19 tertinggi di Asia Tenggara, dan telah mengenakan sekatan ke atas pergerakan di seluruh negara.

Sumber berkata, kesulitan transaksi yang dicadangkan, yang mungkin membabitkan penggabungan operasi menara telekomunikasi kedua-dua syarikat, adalah satu lagi faktor.

“Namun halangan terbesar adalah pergolakan politik yang berlaku pada Februari dengan pengunduran Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Perubahan dalam kerajaan boleh membawa kepada pelantikan eksekutif kanan baru di entiti yang disokong kerajaan seperti Khazanah,” katanya.

Kerajaan menyasarkan transformasi syarikat besar seperti Axiata, termasuk membawa masuk pelabur asing.

Bagaimanapun, langkah itu bertembung dengan kehendak Tun Dr Mahathir yang ingin mengelakkan sebarang kehilangan pekerjaan.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Axiata, Datuk Izzaddin Idris akan mengambil alih jawatan Ketua Pegawai Eksekutif daripada Tan Sri Jamaludin Ibrahim menjelang Disember.

Saham Axiata telah merosot hampir 23 peratus tahun ini, manakala Indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI jatuh kira-kira 18 peratus.

-Bloomberg

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X