Rabu, 25 March 2020 | 7:23pm

COVID-19: Axiata lancar dana tunai RM150 juta bantu PKS

KUALA LUMPUR: Axiata Group Bhd, bersama dengan anak syarikatnya Celcom Axiata Bhd, edotco Group dan Axiata Digital, mengumumkan pelancaran dana tunai berjumlah RM150 juta bagi menyediakan bantuan kewangan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mikro.

Axiata Group dalam satu kenyataan, berkata Program Bantuan COVID-19 itu yang termasuk sumbangan awal RM20 juta daripada Kementerian Kewangan akan digunakan bagi membantu PKS mikro yang berdepan dengan kesukaran kewangan akibat daripada penularan pandemik berkenaan dan seterusnya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menyaksikan semua perniagaan bukan penting terpaksa menutup operasi.

Menurut kenyataan itu, sebagai meneruskan peranannya sebagai rakan dalam pembangunan nasional, Axiata akan menawarkan pembiayaan mikro patuh Syariah menerusi anak syarikatnya Axiata Digital, memanfaatkan platform digital Aspirasi Axiata Digital dalam jajaran RM1,000 hingga RM10,000 dan bagi terma yang menarik.

Katanya, bantuan itu disasarkan untuk memberi manfaat kepada kira-kira 150,000 PKS mikro dalam ekosistem Boost, Aspirasi dan Celcom, serta dalam ekosistem lain termasuk e-dagangnya dan rakan FMCG serta syarikat telekomunikasi dan e-dompet lain.

“Apa yang paling penting, dengan memanfaatkan teknologi digital canggih Aspirasi, PKS mikro hanya perlu melalui proses dalam talian selama tiga minit dan sekiranya diluluskan, pembiayaan akan disediakan dalam tempoh 48 jam dalam akaun bank mereka.

“Ini akan memudahkan permohonan dibuat semasa tempoh PKP dan dana akan diagihkan dengan segera kepada perniagaan yang memerlukan tanpa ada sebarang atau kurang campur tangan daripada manusia,” kata kumpulan itu.

Bagi maklumat lanjut mengenai program berkenaan, boleh layari www.aspirasi.co. - Bernama

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Kabinet Malaysia 2020

    Berita Harian X