Isnin, 27 April 2020 | 6:51pm
COVID-19 turut memberikan cabaran kepada syarikat kukuh seperti Adidas - Gambar hiasan
COVID-19 turut memberikan cabaran kepada syarikat kukuh seperti Adidas - Gambar hiasan

Untung Adidas susut hampir sekali ganda

FRANKFURT AM MAIN: Keuntungan suku pertama pengeluar pakaian sukan Jerman, Adidas, merosot 95 peratus, yang menyaksikan kejatuhan ketara penjualannya disebabkan oleh wabak COVID-19.

Syarikat itu mencatat keuntungan bersih sebanyak 31 juta euro (RM145.78 juta) pada suku dikaji, susut daripada 632 juta euro (RM2.75 bilion) pada suku pertama 2019 dan hanya mencapai sebahagian kecil unjuran penganalisis yang dibuat oleh Factset.

"Keputusan kewangan kami pada suku pertama berlegar kepada cabaran serius yang ditimbulkan oleh wabak coronavirus global, walaupun untuk sebuah syarikat yang kukuh," kata Ketua Eksekutifnya, Kasper Rorsted dalam satu kenyataan.

Ketika virus itu tersebar di seluruh dunia, Adidas terpaksa menutup rangkaian kedainya bermula di pasaran yang menjadi pertumbuhan penting iaitu China.

Walaupun jualan di China mulai pulih, penutupan di sebahagian besar dunia, yang berjumlah lebih daripada 70 peratus daripada keseluruhan rangkaian Adidas, bermakna kumpulan itu masih belum dapat memberikan unjuran untuk tahun penuh 2020.

"Pendapatan dan keuntungan untuk suku kedua 2020 pada masa ini dijangka jauh lebih teruk daripada yang dicatatkan pada suku pertama," kata Adidas, yang meramalkan penurunan penjualan yang disesuaikan dengan mata wang 'lebih daripada 40 peratus' selain kerugian operasi.

Selepas simpanan tunainya menyusut lebih daripada 500 juta euro (RM2.18 bilion) pada suku pertama, Adidas bulan ini memperoleh pinjaman kecemasan berjumlah 2.4 bilion euro (RM10.46 bilion) daripada bank pelaburan awam, KfW dan 600 juta euro (RM2.61 bilion) daripada bank swasta.

-AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X