Jumaat, 8 Mei 2020 | 5:16pm
Barangan keperluan asas disumbangkan oleh IKHLAS kepada komuniti Orang Asli - Foto ihsan AirAsia
Barangan keperluan asas disumbangkan oleh IKHLAS kepada komuniti Orang Asli - Foto ihsan AirAsia

IKHLAS sumbang bantuan Orang Asli di Pahang

KUALA LUMPUR: IKHLAS, jenama perniagaan baharu di bawah AirAsia.com, menyampaikan bantuan kepada 1,700 ahli keluarga Orang Asli di Jerantut dan Temerloh, Pahang menerusi inisiatif derma digital awamnya, 'Derma Dengan Ikhlas'.

Ketuanya, Ikhlas Kamarudin, berkata setiap keluarga menerima satu bakul makanan yang mengandungi beras, gula, tepung, minyak masak, mi segera, kopi dan teh, pelbagai biskut dan makanan dalam tin.

Beliau berkata, syarikat merafak sembah dan menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, kerana titah baginda memberi inspirasi dan dorongan untuk memperluaskan rangkaian program amal bulan Ramadan dengan membantu masyarakat Orang Asli.

"Kami juga ingin merakam penghargaan kepada semua orang yang telah bergabung tenaga menyediakan barangan keperluan asas kepada keluarga yang kurang bernasib baik, pasukan barisan hadapan dan dalam masa yang sama membantu peniaga tempatan di bulan Ramadan ini,

"Ini terutama kepada rakan kerjasama utama kami Yayasan Amanah Assofwah Almalikiyyah yang telah memainkan peranan penting terhadap kempen ini.

"Kami akan meneruskan usaha untuk mengedar lebih banyak barangan keperluan asas di seluruh negara, dan sekali lagi ingin mengucapkan terima kasih atas sokongan anda semua terhadap inisiatif ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Ikhlas berkata, sehingga kini, kempen itu telah menerima dana sebanyak RM759,000 melalui inisiatif derma digital awam ini.

Sejak hari pertama Ramadan katanya, pasukan IKHLAS telah mengedarkan barangan keperluan asas dan juadah berbuka puasa kepada lebih 3,700 buah keluarga dan 19,050 orang individu di pelbagai lokasi termasuk Lembah Klang, Melaka, Kota Kinabalu, Labuan, Jerantut, Temerloh, Kuantan, Kuala Terengganu, Dungun, Kuala Nerus, Marang, Besut, Kubang Pasu, Langkawi, Kuala Kangsar dan lain-lain.

"Kempen ini akan dipanjangkan ke kawasan-kawasan lain seluruh Malaysia pada sepanjang bulan Ramadan ini," katanya.

Projek berkenaan disokong pelbagai badan kerajaan seperti Jabatan Kemajuan Orang Asli Malaysia (JAKOA), Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Majlis Tempatan Daerah dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang untuk menghantar barangan keperluan asas kepada komuniti Orang Asli, dengan ihsan pengangkutan udara oleh Charter Group Aero Sdn Bhd.

Kempen 'Derma Dengan Ikhlas' adalah sebahagian daripada kempen #InThisTogether oleh Kumpulan AirAsia. Orang awam yang berminat untuk menderma boleh melayari Givewith.Ikhlas.com.

IKHLAS ditubuhkan khusus untuk komuniti Muslim di seluruh dunia dengan menyediakan akses untuk pelbagai amalan berasaskan keimanan termasuk kewajipan agama seperti Umrah, korban dan pilihan gaya hidup berasaskan hukum Syariah. Portal ini akan dilancarkan pada bulan Jun 2020.

Untuk maklumat lanjut mengenai tabung bantuan dan inisiatif akan datang, layari Givewith.ikhlas.com, atau melalui laman sosial di Instagram ikhlasdotcom dan Facebook ikhlasdotcom.

Berita Harian X