Jumaat, 8 Mei 2020 | 5:30pm
Hong Leong Bank (HLB)
Hong Leong Bank (HLB)

HLB permudah proses permohonan pinjaman PKS

KUALA LUMPUR: Hong Leong Bank (HLB) mempermudahkan proses permohonan serta kelulusan untuk pinjaman perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi membolehkan mereka mendapat Kemudahan Bantuan Khas (SRF) Bank Negara Malaysia (BNM) dengan segera.

Ia juga bagi membolehkan PKS terbabit mendapat bantuan kewangan yang diperlukan tepat pada masanya.

Ketua Perbankan PKS HLB, Terrence Teoh, berkata setakat 30 April tahun ini, HLB meluluskan kira-kira RM1.3 bilion kemudahan di bawah SRF BNM untuk lebih 1,600 PKS merangkumi pelbagai sektor daripada perdagangan borong dan runcit, pembuatan dan pembinaan sehingga pengangkutan, penyimpanan dan komunikasi.

"Kami menjadikannya lebih mudah dan lancar buat pelanggan, iaitu mereka boleh memohon menerusi e-mel dan melengkapkan prosesnya melalui penerimaan kebenaran digital.

"Ini tidak sekadar berperanan sebagai strategi digital utama kami, tetapi paling penting, membolehkan HLB membantu pelanggan pada waktu kritikal semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), apabila sekatan fizikal menghalang melakukan sesuatu secara tradisional," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Domenic Fuda, berkata sebagai sebuah bank yang mempunyai latar belakang keusahawanan yang kukuh, HLB memahami bahawa aliran tunai adalah cabaran terbesar PKS dan mereka kini menghadapi tekanan kewangan untuk memastikan perniagaan mereka terus bertahan dan melindungi pendapatan pemilik dan pekerja mereka.

"Kami sudah menghubungi pelanggan sepanjang tempoh PKP untuk membantu mana yang boleh, termasuk memberi kredit yang mana sesuai dan penangguhan pembayaran jika perlu untuk membantu pengurusan aliran tunai jangka pendek mereka," katanya.

Beliau berkata, bank turut membantu PKS mendigitalkan perbankan bagi membolehkan mereka beroperasi di bawah pergerakan yang terhad dan sekali gus kembali pulih apabila keadaan bertambah baik.

Katanya PKS, yang terdiri daripada 98.5 peratus daripada semua perniagaan di Malaysia, terjejas teruk semasa PKP.

-BERNAMA

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X