Ahad, 10 Mei 2020 | 12:29pm
Gambar fail - NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman
Gambar fail - NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman

Bank Islam sedia platform bayar zakat fitrah, SnapNPay

KUALA LUMPUR: Bank Islam Malaysia Bhd (Bank Islam) kini menyediakan kemudahan pembayaran elektronik mudah bagi membolehkan

pelanggan menunaikan kewajipan membayar zakat fitrah menerusi aplikasi mudah alih, SnapNPay.

Kemudahan pembayaran itu membabitkan kerjasama dengan rakan strategik, SnapNPay Digital Sdn Bhd (SNPD) dan 11 Lembaga Zakat Negeri.

Perkhidmatan itu terbuka kepada semua pengguna dan tidak terhad kepada pelanggan Bank Islam saja, yang mana melalui aplikasi itu, perdaftaran akaun atau butir peribadi pengguna tidak diperlukan, sebaliknya, hanya alamat e-mel diperlukan bagi melengkapkan transaksi pembayaran.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed, berkata berikutan penularan wabak COVID-19 dan bersempena Ramadan tahun ini, Bank Islam menawarkan kemudahan pembayaran zakat fitrah secara dalam talian bagi meminimumkan pergerakan orang awam serta mengelakkan kontak fizikal.

Beliau berkata, Bank Islam sentiasa berinovasi untuk memberi nilai tambah kepada pelanggan daripada segenap segmen, malah, kerjasama dengan SNPD telah bermula pada 2018 melalui aplikasi digital SnapNPay dengan tujuan untuk memperkukuhkan lagi usaha

pendigitalan bank.

"Dengan memanfaatkan kepakaran teknologi SNPD, kewajipan pembayaran zakat fitrah ini dapat disempurnakan pada masa sebenar. Menerusi kaedah ini, kami menerapkan elemen teknologi kepada penyelesaian Syariah, seterusnya menyampaikan perkhidmatan yang memenuhi keperluan hari ini yang selari dengan trend digital semasa," katanya dalam satu kenyataan.

Aplikasi SnapNPay boleh dimuat turun secara percuma melalui AppStore (iOS) atau PlayStore (Android), yang mana pelanggan hanya perlu mengimbas kod Respon Pantas (QR) yang disediakan atau memuat naik imej kod QR daripada galeri untuk membuat

pembayaran.

Proses pembayaran boleh dibuat dari kesemua 29 bank ahli FPX di Malaysia.

Pada masa ini, Lembaga Zakat Negeri seperti Perak, Terengganu, Sabah, Sarawak, Perlis, Negeri Sembilan, Johor, Kelantan dan Pahang menggunakan satu kod QR generik untuk negeri masing-masing, manakala Wilayah Persekutuan dan Pulau Pinang

menggunakan kod QR unik bagi setiap wakil kutipan zakat (Amil).

Di samping itu, selain zakat ffitrah, Lembaga Zakat Negeri Kedah Darul Aman turut menerima pembayaran zakat lain.

Disamping pembayaran zakat fitrah, aplikasi SnapNPay juga menyediakan peluang kepada pengguna untuk menyumbang kepada Sadaqa House, platform pendanaan awam yang disediakan Bank Islam bagi tujuan untuk merealisasikan projek bagi golongan terpinggir yang merangkumi kategori kesihatan, pendidikan, pemerkasaan ekonomi dan alam sekitar.

Aplikasi itu juga menyediakan kemudahan pembayaran seperti zakat, wakaf, dan iSedekah. Selain itu, pembayaran kepada pihak berkuasa tempatan, agensi kerajaan, institusi pendidikan, kesihatan, Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan kedai runcit

juga boleh disempurnakan menerusi aplikasi berkenaan.

Sehingga 4 April 2020, kadar muat turun aplikasi SnapNPay dari platform AppStore dan PlayStore telah melebihi 65,000 pengguna, dengan sejumlah 90,000 transaksi bernilai hampir RM4 juta juga telah direkodkan.

Pada Ramadan tahun ini, Bank Islam dan SNPD berhasrat untuk membantu mengumpul kira-kira tujuh peratus hingga 20 peratus daripada jumlah zakat fitrah tahunan bagi negeri terbabit.

Berita Harian X