Isnin, 18 Mei 2020 | 1:46pm
Pesawat milik Emirates. Foto Facebook Emirates
Pesawat milik Emirates. Foto Facebook Emirates

Emirates cadang kurangkan 30,000 kakitangan

DUBAI: Emirates Group sedang mempertimbangkan untuk mengurangkan lagi kira-kira 30,000 kakitangan, pengurangan terbesar dalam industri penerbangan global yang terjejas teruk oleh pandemik COVID-19.

Syarikat penerbangan jarak jauh terbesar di dunia itu bercadang mengurangkan 30 peratus daripada keseluruhan pekerjanya yang berjumlah 105,000 pada Mac.

Ia susulan langkah pengurangan kos dan menyelaraskan semula operasi untuk mengatasi kemerosotan perjalanan yang dijangka berlaku selama bertahun-tahun, demikian kata sumber.

Kumpulan milik kerajaan itu menjana AS$1.2 bilion (RM5.2 bilion) dalam pembiayaan baharu pada suku pertama dan meninjau bantuan dari Dubai.

Emirates juga sedang mempertimbangkan untuk mempercepat pengunduran armada A380, pesawat bertingkat besar yang dapat menampung lebih 500 penumpang, kata beberapa sumber.

Emirates, pengendali terbesar pesawat super jumbo Airbus SE, berkata pihaknya mengkaji semula paras 'kos dan sumber' berbanding unjuran memandangkan ia bersiap sedia untuk memulakan semula perkhidmatan setelah hampir dua bulan tidak beroperasi.

"Tidak ada pengumuman yang dibuat mengenai pemberhentian kerja besar-besaran di syarikat penerbangan," katanya dalam satu kenyataan melalui email.

"Penjimatan tunai, melindungi perniagaan kami, dan memelihara sebanyak mungkin tenaga kerja mahir kami tetap menjadi keutamaan kami," katanya.

Syarikat penerbangan di seluruh dunia mengurangkan pekerjaan selepas terjejas oleh sekatan perjalanan yang belum pernah terjadi sebelumnya.

Langkah yang diambil di Emirates adalah yang paling teruk sejak negara mengenakan sekatan dan kawalan perjalanan untuk membendung penularan virus.

IAG SA, syarikat induk British Airways pada bulan lalu berkata bahawa ia akan mengosongkan kira-kira 12,000 daripada pembayaran gajinya, sementara lebih 100,000 pekerja di empat syarikat penerbangan Amerika Syarikat (AS) terbesar telah mengambil cuti sukarela, mengurangkan jam atau bersara awal.

Ketua syarikat penerbangan telah memberi amaran kepada pekerja bahawa perubahan dalam saiz tetap akan dilaksanakan. - Bloomberg

Berita Harian X