Isnin, 18 Mei 2020 | 2:51pm
Gambar fail, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Haris Fadzilah Hassan. - Foto Aizuddin Saad
Gambar fail, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Haris Fadzilah Hassan. - Foto Aizuddin Saad

FGV sasar tingkat pulangan projek tenaga boleh diperbaharui

KUALA LUMPUR: FGV Holdings Bhd (FGV) merancang meningkatkan pulangan daripada projek tenaga boleh diperbaharui (RE) sebagai sebahagian daripada strategi pemulihannya dari kesan ekonomi pandemik COVID-19.

Syarikat itu dalam kenyataannya berkata, inisiatif 'waste-to-wealth' sudah menjadi elemen penting bagi perniagaan FGV memandangkan terdapat banyak sumber yang boleh diperoleh daripada aktiviti perladangan dan kilang.

"Ini termasuk menghasilkan bahan bakar biogas (gas, pepejal dan cecair) untuk menghasilkan tenaga. Inisiatif ini dapat (ditingkatkan lebih jauh sebagai sebahagian daripada strategi pemulihan Kumpulan selepas COVID-19.

"Kami sedang mengkaji inisiatif di bawah segmen ini untuk menghasilkan pelan yang kukuh agar dapat dilaksanakan dengan segera," kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Haris Fadzilah Hassan.

Di antara projek-projek segera yang dapat dilaksanakan, katanya, adalah perniagaan penjanaan tenaga melalui pemerangkapan biogas di kilang kelapa sawitnya.

Biogas digunakan sebagai bahan bakar untuk penjanaan elektrik melalui enjin biogas untuk membekalkan elektrik ke Grid Nasional melalui mekanisme Feed-In-Tariff (FIT) yang ditadbir oleh Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari Malaysia (SEDA Malaysia).

Biogas juga digunakan secara dalaman untuk bekalan elektrik luar bandar di Sabah yang menjana tenaga elektrik kepada rumah peneroka di Felda Sahabat, Felda Cenderawasih dan Felda Umas, katanya.

"Kilang FGV Serting Hilir di Negeri Sembilan adalah projek FIT pertama di Malaysia yang mencapai Tarikh Operasi Komersial (COD) pada tahun 2006 diikuti oleh kilang Tenggaroh, Maokil dan Nitar di Johor. Terbaharu, kilang Triang dan Keratong 9 di Pahang menyumbang bekalan ke Grid Nasional pada tahun ini.

"Melalui projek Tenaga Diperbaharui, FGV juga melaksanakan inisiatif pengoptimuman kos di seluruh Kumpulan dari segi penjimatan bahan bakar di kilang dan loji.

"Sebagai contoh, loji MSM Malaysia Holdings Berhad (syarikat bersekutu FGV) di Tanjung Leman,Johor boleh beroperasi dengan menggunakan tandan buah kosong (EFB) yang dibekalkan dari kilang Kumpulan di Johor dan ini akan menghasilkan penjimatan elektrik tahunan sebanyak RM60 juta," jelas beliau.

FGV juga, katanya, akan mengeksport tempurung isirung sawit (PKS) ke Jepun sebagai bahan bakar bio di mana penghantarannya dijangkakan dalam tahun ini.

Haris Fadzilah berkata, PKS digunakan secara meluas untuk loji tenaga biomas di seluruh Jepun untuk tenaga elektrik sejajar dengan inisiatif kerajaan mereka dalam mempromosikan tenaga boleh diperbaharui.

Pengenalan inisiatif diperbaharui kerajaan Jepun untuk bergantung pada bahan bakar fosil pada tahun 2012 telah meningkatkan permintaan, dengan import PKS Jepun hampir tiga kali ganda sejak 2015, kepada 1.3 juta metrik tan (MT) pada tahun 2018, sehingga menawarkan peluang besar kepada FGV untuk menerokai dan menembusi Pasaran PKS Jepun, mendahului persaingan dari Indonesia.

"FGV juga melaksanakan pelan usaha sama untuk membangunkan loji pulpa dan kertas EFB, berpotensi di Kuantan, Pahang yang dijangka akan disiapkan pada 2022/2023 dan akan menggunakan antara setengah juta hingga satu juta ton EFB setiap tahun.

"Berikutan kejayaan loji gas asli bio-mampat (Bio-CNG) pertama di Kilang Kelapa Sawit Sungai Tengi, Selangor, FGV merancang untuk membina loji Bio-CNG / Bio-LNG di 35 kilang minyak sawitnya yang berpotensi melalui pelaburan luar, selain projek FITnya, loji pengekstrakan minyak serat sawit, biogas dan projek utiliti tenaga boleh diperbaharui di Sabah, yang juga membabitkan pihak luar," katanya.

Haris Fadzilah berkata inisiatif itu juga sejajar dengan rancangan Industri Pembekalan Tenaga Malaysia 2.0 (MESI 2.0) untuk mempunyai 20% tenaga boleh diperbaharui dalam campuran tenaga menjelang 2025.

Bahagian Tenaga Boleh Diperbaharui yang berada di bawah FGV Palm Industries Sdn Bhd terdiri daripada produk sampingan, tenaga boleh diperbaharui dan projek pelaburan sifar yang berkaitan dengan biomas yang dihasilkan dari kilang kelapa sawit.

Berita Harian X