Jumaat, 22 Mei 2020 | 4:27pm
Datuk Seri Mohammad Mentek. - Foto Hafiz Sohaimi
Datuk Seri Mohammad Mentek. - Foto Hafiz Sohaimi

Mohammad Mentek dilantik ahli Lembaga Pengarah Bank Rakyat

KUALA LUMPUR: Bank Rakyat, agensi di bawah seliaan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) melantik Datuk Seri Mohammad Mentek sebagai salah seorang ahli Lembaga Pengarah baharu berkuat kuasa 19 Mei 2020.

Mohammad, 56, yang juga Ketua Setiausaha MEDAC adalah graduan berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Matematik dan Ijazah Sarjana Sains Statistik dari Universiti Minnesota, Amerika Syarikat (AS).

Beliau berkhidmat dalam perkhidmatan awam selama 28 tahun sejak mula menyertai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 1 Oktober 1992.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Datuk Rosman Mohamed mengucapkan tahniah di atas pelantikannya dan mengalu-alukan penyertaan beliau sebagai ahli Lembaga Pengarah baharu untuk bersama-sama menerajui bank itu menerusi perkongsian pengalaman dan ilmu.

"Semoga dengan pelantikan ini, Bank Rakyat akan memperoleh manfaat daripada pengalaman luas beliau dalam bidang pengurusan sumber manusia, penyelidikan dan dasar menerusi karier perkhidmatannya sebelum ini termasuk sebagai Ketua Pengarah Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Jabatan Perdana Menteri.

"Beliau juga diharapkan dapat mengukuhkan lagi integriti Bank Rakyat dan mencapai pengalaman perbankan pelanggan yang memuaskan serta kecemerlangan yang berterusan," katanya.

Berita Harian X