Isnin, 25 Mei 2020 | 1:44pm
Ketua Eksekutif Stuff, Sinead Boucher.
Ketua Eksekutif Stuff, Sinead Boucher.

Gergasi media New Zealand dijual pada harga RM2.60

WELLINGTON: Syarikat media New Zealand, Stuff Limited dijual melalui perjanjian pembelian pada harga NZ$1 (RM2.60), kata pemiliknya Nine Entertainment.

Nine berkata, Ketua Eksekutif Stuff, Sinead Boucher akan mengambil alih syarikat itu, yang mengendalikan portal berita paling popular di New Zealand, stuff.co.nz, selain Wellington's Dominion Post dan Christchurch Press.

"Penjualan dijangka selesai pada 31 Mei 2020," kata firma yang berpangkalan di Australia itu dalam satu kenyataan kepada bursa saham Australia.

Boucher, yang mula menyertai syarikat media itu sebagai wartawan pada 1993 dan menghabiskan sebahagian besar kerjayanya di syarikat itu berkata, ia adalah era baharu untuk Stuff.

"Adalah sesuatu yang hebat untuk mengawal masa depan sendiri dengan beralih kepada pemilikan tempatan dan peluang untuk membina kepercayaan rakyat New Zealand, yang beralih kepada kami untuk mendapatkan berita serta hiburan nasional setiap hari," katanya kepada stuff.co.nz.

Nilai pemilikan NZ$1 itu mencerminkan kesukaran dalam sektor media New Zealand, apabila impak COVID-19 mengurangkan pendapatan yang sedia terjejas oleh syarikat media baharu global seperti Facebook dan Google.

Saingan domestik utama Stuff, NZME, turut menawarkan harga sama untuk syarikat itu, tetapi ditolak awal bulan ini.

Stuff dan NZME meminta kakitangan supaya mengambil potongan gaji kerana kemerosotan pendapatan disebabkan pandemik global itu, dengan NZME memberhentikan 200 pekerja.

Gergasi majalah dari Jerman, Bauer Media Group menutup kehadirannya di New Zealand, menyebabkan 237 pekerja hilang mata pencarian bulan lalu, dengan alasan kesan ekonomi yang teruk daripada pandemik berkenaan.

Saham Nine, meningkat 2.9 peratus pada A$1.41 pada awal perdagangan ASX.

-AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X