Rabu, 27 Mei 2020 | 9:56am
Gambar fail: Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Permodalan Nasional Bhd (PNB), Jalil Rasheed. Foto NSTP/ Mohd Yusni Ariffin
Gambar fail: Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Permodalan Nasional Bhd (PNB), Jalil Rasheed. Foto NSTP/ Mohd Yusni Ariffin

PNB jangka pelaburan luar negara beri pulangan baik

KUALA LUMPUR: Permodalan Nasional Bhd (PNB) kekal optimis terhadap peluang pelaburan antarabangsa dengan terus aktif meninjau bidang pelaburan yang mampu memberikan pulangan lebih baik di sebalik impak global pandemik COVID-19.

Pengurus dana terbesar di Malaysia itu juga menetapkan sasaran untuk meningkatkan pendedahan global secara taktikal kepada 30 peratus menjelang 2022, berbanding 8.5 peratus pada akhir 2019.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Jalil Rasheed, berkata sehingga kini, syarikat pengurusan dana terbesar di Malaysia itu telah melabur di Amerika Syarikat (AS), Eropah dan beberapa negara Asia.

Beliau berkata, pelaburan di luar negara itu dibuat sama ada secara terus dalam pasaran ekuiti mahupun dalam pendapatan tetap dan ekuiti persendirian.

Katanya, PNB mempunyai Rangka Kerja Peruntukan Aset Strategik (SAA) yang menjadi panduan dalam proses membuat keputusan bagi menetapkan sasaran peruntukan modal jangka panjang yang optimum.

Ia juga berperanan penting dalam inisiatif PNB untuk mencapai kepelbagaian risiko yang lebih baik melalui portfolio pelaburannya dalam pelbagai kelas aset, jelasnya.

"Pendekatan SAA kami telah mengubah perjalanan pertumbuhan masa depan kami ke arah pengagihan aset, dengan kepelbagaian portfolio kami sebagai pemacu utama.

"Kami akan mempertingkatkan usaha kepelbagaian portfolio kami menerusi pelaburan dalam kelas aset dan geografi baharu, termasuk peluang hartanah global yang berupaya memberikan pulangan yang baik," katanya kepada BH bagi mengulas mengenai rancangan pelaburan luar negara PNB.

Mengulas lanjut mengenai proses keputusan pelaburan dibuat, Jalil berkata, semua peluang pelaburan perlu melalui proses penilaian yang ketat merangkumi penilaian asas syarikat, yang mana cadangan pelaburan akan melalui pelbagai lapisan proses tadbir urus bagi memastikan portfolio PNB terdiri daripada syarikat yang dikendalikan dengan baik serta mampu bertahan dengan kitaran pasaran.

Beliau berkata, memandangkan PNB mengekalkan perspektif jangka panjang, pihaknya tidak menjangkakan sebarang perubahan drastik dalam strategi pelaburan.

"Pendekatan pelaburan kami mengutamakan penjanaan pulangan jangka masa panjang yang berterusan untuk pemegang unit kami.

"Dengan situasi COVID-19, kami terus memantau cabaran yang mungkin dihadapi pada masa hadapan, namun, kebelakangan ini, kami telah memanfaatkan peluang yang diberikan oleh pasaran," katanya.

Jalil berkata, bagi mengoptimumkan pulangan dalam persekitaran pulangan rendah yang berterusan, PNB perlu terus meneliti portfolionya untuk melabur dalam kaunter terpilih yang mempunyai prospek dan potensi pulangan jangka panjang yang lebih baik, bagi memastikan penggunaan modal yang lebih cekap.

Bagi tempoh terdekat, beliau berkata, ia termasuk memanfaatkan prospek yang ditawarkan oleh ketidaktentuan harga pasaran.

Strategi itu juga akan membolehkan PNB memperkukuhkan posisi kewangannya dalam jangkaan pasaran yang tidak menentu, jelasnya.

"Selain itu, PNB juga akan memantapkan proses pelaburan sedia ada dan meningkatkan kecekapan proses membuat keputusan, dengan penekanan kepada tahap responsif terhadap peluang dan risiko, dengan mengambil kira jangka masa pelaburan yang lebih panjang," katanya.

PNB adalah syarikat pengurusan dana terbesar di Malaysia dengan aset di bawah pengurusan (AUM) kini melebihi RM300 bilion.

Portfolionya merangkumi pelaburan strategik di syarikat korporat terkemuka Malaysia, ekuiti global, pelaburan persendirian dan

hartanah.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X