Rabu, 27 Mei 2020 | 11:07am
Gambar fail: Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Jalil Rasheed. Foto NSTP/Aizuddin Saad
Gambar fail: Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Jalil Rasheed. Foto NSTP/Aizuddin Saad

Minggu Saham Amanah akan berwajah digital - PNB

KUALA LUMPUR: Permodalan Nasional Bhd (PNB) bercadang membuat pembaharuan terhadap penganjuran program celik kewangan dan pelaburan utamanya, Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) dengan 'berwajah' digital sejajar peralihan zaman ke arah pendigitalan.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Jalil Rasheed, berkata sejak penganjuran dua MSAM yang lalu, sedikit demi sedikit inovasi digital telah diperkenalkan seperti pendaftaran melalui aplikasi MSAM yang dibangunkan sendiri oleh kakitangan PNB, gerai pameran yang menggunakan realiti maya (VR) dan banyak lagi.

"Insya-Allah, kami akan umumkan MSAM digital dalam masa terdekat. Ini sejajar dengan inisiatif digital kami untuk mampu mengukur tahap literasi kewangan dengan lebih berkesan," katanya kepada BH bagi mengulas mengenai penganjuran MSAM.

Jalil berkata, kemampuan untuk menggunakan kaedah digital membantu PNB dalam merancang mana-mana segmen atau bahagian yang perlu diperuntukkan lebih banyak masa untuk mendidik, dan bukannya dengan menganjurkan satu acara berskala besar setiap tahun.

Beliau berkata, acara berbentuk digital juga dapat dijalankan sepanjang tahun dan bukan hanya satu acara saja setiap tahun.

Mengulas mengenai pelaksanaan 'Seminar Pelaburan 360 Hari', Jalil berkata, berikutan penularan pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia, program 'Seminar Pelaburan 360 Hari' yang sebelum ini dijalankan setiap hari tidak dapat diteruskan.

Sehubungan itu, beliau berkata, program seminar itu juga diberi penjenamaan semula kepada 'Seminar Pelaburan 360'.

"360 merujuk kepada 360 darjah yang menggambarkan inisiatif Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) untuk menukar persepsi serta sikap rakyat Malaysia daripada tiada kesedaran tentang kepentingan perancangan kewangan kepada individu yang berpengetahuan dan sedar akan kepentingan perancangan kewangan.

"360 juga memaparkan satu pusaran lengkap 360 darjah, yang mana ia digambarkan sebagai satu usaha pendidikan sepanjang hayat seseorang itu," katanya.

Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ASNB telah mengambil inisiatif untuk mengadakan seminar secara dalam talian kepada kumpulan sasar tertentu dan juga atas permintaan atau jemputan dari agensi kerajaan, badan beruniform, institut pengajian tinggi awam (IPTA) dan sektor korporat.

MSAM adalah acara tahunan literasi kewangan PNB yang mula dianjurkan sejak 2000 dalam mendidik rakyat Malaysia mengenai literasi kewangan serta menyemai kesedaran mengenai pentingnya merancang kewangan dari usia muda.

Berita Harian X