Rabu, 27 Mei 2020 | 1:29pm
Ketua Pegawai Eksekutif OCBC Al-Amin, Syed Abdull Aziz Syed Kechik
Ketua Pegawai Eksekutif OCBC Al-Amin, Syed Abdull Aziz Syed Kechik

OCBC Al-Amin tumpu pembiayaan projek 'hijau'

KUALA LUMPUR: OCBC Al-Amin Bank Bhd (OCBC Al-Amin) merancang meningkatkan komitmennya kepada kelestarian dan pengantaraan berasaskan nilai (VBI) ke tahap lebih tinggi dengan melaksanakan lebih banyak pembiayaan projek 'hijau' pada tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Syed Abdull Aziz Syed Kechik, berkata bank itu akan terus memberi perhatian khusus kepada peluang pembiayaan lestari sebagai sebahagian daripada strategi pertumbuhan jangka panjangnya berasaskan rangka kerja pembiayaan bertanggungjawab yang disusun rapi.

"Kami sedang giat meninjau peluang libat urus strategik yang boleh dilaksanakan bersama agensi kerajaan berkaitan sebagai usaha menyokong agenda kelestarian walaupun menghadapi kesan pandemik COVID-19.

"Buat masa ini kami memberi tumpuan kepada pembiayaan projek tenaga yang boleh diperbaharui termasuk loji jana kuasa fotovoltan solar dan jana kuasa solar atas bumbung secara besar-besaran selain meninjau peluang untuk menawarkan pembiayaan berkaitan kelestarian kepada pelanggan," katanya dalam satu kenyataan.

VBI adalah inisiatif kelestarian berpandukan industri yang bertujuan mengukuhkan peranan institusi perbankan Islam dalam menjana kesan positif dan lestari terhadap ekonomi, masyarakat dan alam sekitar.

Awal bulan ini, anak syarikat perbankan Islam OCBC Bank (Malaysia) Bhd itu menerajui usaha mengatur kemudahan pembiayaan berkaitan kelestarian patuh Syariah Berbilang Mata Wang Bersindiket (pembiayaan bersindiket) bernilai AS$800 juta untuk Axiata Group Bhd (Axiata), antara kumpulan telekomunikasi terkenal di Asia.

"Ini menandakan satu mercu jaya besar bagi Axiata kerana ia antara transaksi pembiayaan bersindiket terbesar yang dilaksanakan di tengah-tengah krisis pandemik yang belum pernah dialami sebelum ini dan pembiayaan patuh syariah berkaitan kelestarian yang pertama dilaksanakan di Malaysia," kata Syed Abdull Aziz.

Pada tahun lalu, OCBC Al-Amin bertindak sebagai penasihat rangka kerja kelestarian dan pengatur utama sukuk Edra Solar Sdn Bhd, sekali gus menetapkan tanda aras baharu dalam pasaran sukuk dengan kejayaan menetapkan harga bagi Sukuk Kelestarian dan Kebertanggungjawaban ASEAN bernilai RM245 juta.

-BERNAMA

Berita Harian X