Isnin, 1 Jun 2020 | 11:34am
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) UMW Holdings Bhd, Badrul Feisal Abdul Rahim.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) UMW Holdings Bhd, Badrul Feisal Abdul Rahim.

CEO UMW meninggal dunia

KUALA LUMPUR: Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) UMW Holdings Bhd, Badrul Feisal Abdul Rahim meninggal dunia akibat serangan jantung di KPJ Ampang Puteri, semalam.

Jurucakap UMW berkata, Allahyarham berusia 50 tahun dan meninggal dunia jam 7.54 malam tadi.

Beliau dilahirkan pada 6 Julai 1969.

Difahamkan, jenazahnya sudah dibawa pulang ke kediaman dan akan dikebumikan hari ini.

Jurucakap itu berkata, Allahyarham adalah seorang ketua yang tidak pernah lekang dengan senyuman dan sentiasa menjaga kebajikan pekerjanya.

Badrul dilantik sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UMW pada 1 Oktober 2015.

Mula menyertai UMW sebagai Pengurus Besar Kanan di Pejabat Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan pada Disember 2010 dan dilantik sebagai Pemangku Pengarah Eksekutif bagi Bahagian Minyak & Gas UMW dari April 2011 hingga Disember 2011.

Beliau juga pernah menjadi Pengarah Eksekutif Bahagian Pembangunan Korporat Kumpulan sebelum dilantik sebagai Ketua Operasi Kumpulan UMW pada Januari 2013.

Badrul terbabit dalam pengurusan kanan dan pengarah di beberapa organisasi seperti Khazanah Nasional Bhd (Khazanah), PROTON, LOTUS dan Kumpulan syarikat DRB-HICOM.

Berita Harian X