Selasa, 30 Jun 2020 | 9:18am
Gambar fail: Ahmad Shahizam Shariff. - Foto: NSTP/Surianie Mohd Hanif.
Gambar fail: Ahmad Shahizam Shariff. - Foto: NSTP/Surianie Mohd Hanif.

KPJ Healthcare lantik Ahmad Shahizam sebagai Presiden baharu

KUALA LUMPUR: KPJ Healthcare Bhd melantik Ahmad Shahizam Mohd Shariff sebagai Presiden dan Pengarah Urusan berkuatkuasa 1 Julai ini bagi menggantikan Datuk Amiruddin Abdul Satar.

Syarikat itu menerusi kenyataan hari ini berkata Ahmad Shahizam dijangka membentuk strategi baharu dan menerajui hala tuju KPJ dalam era digital sebagai penyedia penjagaan kesihatan terkemuka di negara ini.

Beliau adalah lulusan Sarjana Muda Undang-undang (LLB) dari London School of Economics & Political Science, University of London pada 1994 dan kemudian memperoleh Sarjana Pentadbiran Awam dari Harvard University, Amerika Syarikat pada 2008.

Ahmad Shahizam, 49, memulakan kerjaya dengan HSBC Bank Malaysia pada 1994 dalam perbankan komersial.

Beliau kemudian bekerja dalam pasaran modal sebagai penganalisis pelaburan di ING Barings dan Salomon Smith Barney sehingga 2003 sebelum menyertai Khazanah Nasional Bhd sebagai naib presiden kanan pada 2004.

Pada 2010, Ahmad Shahizam menjadi Pengarah Eksekutif Parkway Pantai Ltd, Singapura dan kemudian di IHH Healthcare Bhd.

Dari 2014 hingga 2017, beliau adalah Ketua Pegawai Eksekutif Pantai Holdings Bhd.

Pembabitan beliau dalam sektor penjagaan kesihatan diperluaskan lagi ke dalam organisasi lain termasuk menjadi ahli lembaga Majlis Pelancongan Penjagaan Kesihatan Malaysia dan penasihat kepada beberapa syarikat pemula niaga teknologi berasaskan penjagaan kesihatan.

Sementara itu, Pengerusi KPJ, Datuk Yusli Mohamed Yusof berkata di bawah kepimpinan Amiruddin, KPJ mencatatkan beberapa pencapaian cemerlang, termasuk prestasi kewangan terbaik dalam sejarahnya bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Disember 2019 dengan perolehan mencecah RM3.6 bilion dan keuntungan selepas cukai meningkat kepada RM226.7 juta.

Selama tujuh tahun menerajui KPJ, perolehan syarikat berkembang lebih 70 peratus sejak 2012. Jumlah hospital pakar KPJ di Malaysia juga bertambah kepada 28 setakat akhir 2019 daripada 22 hospital pada 2012. - Bernama

Berita Harian X