Selasa, 30 Jun 2020 | 6:44pm
Bangunan Ibu Pejabat Tenaga Nasional Berhad (TNB), Jalan Bangsar. - FOTO: Asyraf Hamzah
Bangunan Ibu Pejabat Tenaga Nasional Berhad (TNB), Jalan Bangsar. - FOTO: Asyraf Hamzah

TNB komited tingkat pelaburan tenaga hijau

KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Bhd (TNB) komited melaksanakan agenda kelestarian yang utuh menerusi lebih banyak pelaburan dalam tenaga hijau di peringkat domestik dan antarabangsa.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata syarikat utiliti itu juga akan terus memudahkan peralihan tenaga di negara ini dengan meningkatkan infrastruktur terasnya dengan teknologi digital.

Beliau berkata, walaupun berdepan cabaran gangguan yang dicetuskan pandemik COVID-19, TNB akan kekal komited dalam menyampaikan pelan strategiknya, 'Reimagining TNB'.

Katanya, ia termasuk usaha untuk mempelbagaikan sumber penjanaan tenaga TNB terutama dalam tenaga boleh diperbaharui, melabur dalam grid nasional, dan juga memberi tumpuan kepada pelanggan dengan rangkaian produk dan perkhidmatan yang melangkaui penjualan elektrik.

"Bersama dengan Lembaga Pengarah, kami baru-baru ini memperkukuhkan pelan hala tuju strategik 10 tahun kami. Kami memutuskan untuk memacu agenda kelestarian yang lebih utuh menerusi lebih banyak pelaburan ke dalam tenaga hijau di dalam dan luar negara," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan sempena Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) TNB yang diadakan buat pertama kali secara maya hari ini.

Amir Hamzah berkata, TNB juga akan terus mengimbangi komitmennya untuk mengembangkan perniagaan bagi memberikan pulangan pemegang saham yang adil dengan tanggungjawabnya terhadap pelanggan dalam tempoh mencabar ini.

Beliau berkata, pihaknya akan bekerjasama secara rapat dengan kerajaan untuk menyokong rakyat menerusi pelbagai inisiatif yang diperkenalkan di bawah Pakej PRIHATIN dan Bantuan PRIHATIN Elektrik.

Sementara itu, Lembaga Pengarah TNB meluluskan dividen peringkat tunggal akhir 20 sen sesaham, sekali gus menjadikan jumlah dividen peringkat tunggal kepada 50 sen sesaham bagi tahun kewangan 2019.

Lembaga Pengarah TNB juga meluluskan dividen khas 50 sen sesaham, menjadikan jumlah dividen sesaham kepada RM1 berjumlah RM5.69 bilion bagi tahun kewangan dikaji, yang mana ia adalah pembayaran dividen tertinggi TNB setakat ini.

Pengerusi TNB, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata operasi kumpulan yang cekap dan pengurusan modal berkesan diperlihatkan dengan pembayaran dividen pada paras rekod berjumlah RM5.69 bilion.

Beliau berkata, ia adalah tahun ketiga berturut-turut TNB memberikan dividen pada julat tertinggi dalam polisi dividennya yang antara 30 peratus hingga 60 peratus daripada PATAMI yang diselaraskan.

"Ini mencerminkan komitmen TNB untuk melaksanakan amanahnya kepada rakyat yang menjadi penerima manfaat utama

melalui pemegang saham institusi utama kami," katanya.

Setakat Mei 2020, pemegang saham utama TNB ialah Khazanah Nasional Bhd yang memegang 25.8 peratus ekuiti; Permodalan Nasional Bhd (PNB) 18.1 peratus; Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) 16.7 peratus; Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) 6.7 peratus dan agensi kerajaan lain seperti Lembaga Tabung Haji dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera memiliki 1.2 peratus.

Berita Harian X