Rabu, 1 Julai 2020 | 3:55pm
Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) akan mengubah landskap pengangkutan awam negeri
Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) akan mengubah landskap pengangkutan awam negeri

Gamuda dilantik PDP Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang

KUALA LUMPUR: Gamuda Bhd dilantik oleh kerajaan Pulau Pinang sebagai rakan pelaksana projek (PDP) bagi Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP).

Konglomerat itu dalam kenyataan di Bursa Malaysia berkata, anak syarikat 60 peratus miliknya, SRS Consortium Sdn Bhd memeterai perjanjian induk dengan kerajaan Pulau Pinang berhubung pelantikannya sebagai PDP untuk projek infrastruktur berkenaan.

Katanya, di bawah perjanjian itu, SRS Consortium akan melaksanakan komponen pengangkutan awam yang berbeza termasuk lebuh raya.

"Di samping itu, syarikat juga akan menyediakan tapak penebusgunaan baharu merangkumi Pulau A,B dan C untuk projek Penebusgunaan Selatan Pulau Pinang.

"Selain itu, ia juga akan menyediakan pelan pembiayaan yang termasuk penyediaan pinjaman penyambung RM1.3 bilion kepada kerajaan Pulau Pinang terhadap penebusgunaan Pulau A," katanya.

Selain Gamuda, SRS Consortium turut disertai Loh Phoy Yen Holdings Sdn Bhd dan Ideal Property Development Sdn Bhd dengan yang masing-masing memegang 20 peratus kepentingan.

Gamuda berkata, selaras dengan wawasan dan pendekatan 'Penang 2030', ia akan melaksanakan beberapa perkara yang terkandung dalam PTMP selepas perjanjian induk berkenaan dimeterai.

Ia berkata, antaranya kerja membina dan membentuk Penebusgunaan Selatan Pulau Pinang (Penebusgunaan Pulau A).

Katanya, ia juga membabitkan transit rel yang terdiri daripada landasan kereta api dengan jumlah keseluruhan 20 stesen termasuk empat stesen pertukaran, satu depot di Penebusgunaan Pulau Pinang Selatan dan lima tapak parkir yang berpotensi, dengan jarak laluan kira-kira 23.5 kilometer (km).

"Lebuh raya dwi-tiga lorong laluan yang bermula di Persimpangan Gurney, melintasi arah selatan melalui daerah Timur Laut dan Barat Daya dan berakhir dengan persimpangan di Lebuhraya Bayan Lepas / Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu.

"Anggaran panjang ialah 19.5 km yang terdiri daripada enam persimpangan membabitkan pembinaan jejambat, terowong dan benteng jalan.

"Syarikat juga akan bertindak sebagai perancang induk untuk Penebusgunaan Pulau Pinang Selatan dan pemasaran pelabur dan tender dan penjualan tanah yang terdapat di Pulau A Penebusgunaan Pulau Pinang Selatan," katanya.

Berita Harian X