Ahad, 5 Julai 2020 | 3:41pm
Bekas kakitangan AirAsia menjalani temuduga bersama syarikat carian hartanah Bumiputera, Hi Home - Foto ihsan Hi Home
Bekas kakitangan AirAsia menjalani temuduga bersama syarikat carian hartanah Bumiputera, Hi Home - Foto ihsan Hi Home

Firma Bumiputera ambil bekas kakitangan AirAsia dihentikan kerja

KUALA LUMPUR: Syarikat carian hartanah Bumiputera, Hi HOME Dotcom Sdn Bhd menawarkan peluang pekerjaan secara berperingkat kepada 30 bekas kakitangan AirAsia yang diberhentikan kerja baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Hi HOME, Radzi Tajuddin, berkata buat permulaan, pihaknya akan mengambil 15 bekas kakitangan syarikat penerbangan itu terlebih dahulu sebelum ditambah kepada sehingga 30 orang.

Katanya, antara jawatan yang akan ditawarkan termasuk sumber manusia, pembangunan perniagaan, pemasaran penjenamaan dan jualan atau duta hartanah.

"Hi HOME mengambil bekas kru kabin, juruterbang, komersial dan pasukan operasi AirAsia. Ramai bakat bagus yang akan diserap ke dalam pasukan kami.

"Sejujurnya, saya kagum dengan kualiti mereka dan tidak sabar untuk bekerja bersama-sama. Di akhirnya, kunci kepada kejayaan sesebuah syarikat bergantung kepada pekerjanya.

"Anda boleh bercakap mengenai visi, idea terbaik, produk terbaik, rancangan pemasaran terbaik, tetapi semua ini memerlukan bakat yang tepat. Individu adalah segalanya-galanya dan saya bertuah kerana berpeluang menemui bakat hebat," katanya.

Radzi berkata, semua pekerja AirAsia mempunyai bakat yang bagus dengan set kemahiran yang memerlukan mereka menyediakan standard tinggi perkhidmatan pelanggan.

Set kemahiran berkenaan, katanya adalah menyamai sebagaimana melayan pelanggan untuk menjual hartanah.

Malah tegasnya, kualiti serupa diperlukan dalam pembangunan perniagaan, pemasaran dan penjenamaan.

"Apa yang jelas, yang kami mungkin tidak dapat menyerap semua 300 bekas All Stars (kakitangan AirAsia) di Malaysia (yang diberhentikan kerja). Namun, dapat membantu lima hingga 10 peratus daripada mereka adalah permulaan yang baik," katanya.

Baru-baru ini, Hi HOME bekerjasama dengan penyedia platform e-dagang, Lazada bagi menawarkan hartanah terbaik serendah RM110,000 kepada pembeli, menerusi ekspo hartanah secara dalam talian buat pertama kali di Asia Tenggara sempena Kempen 'Mid Year' 07.07.

Pembeli boleh melihat unit hartanah di platform Lazada dan hanya

perlu membeli baucar serendah RM88 yang kemudiannya boleh ditebus bagi mendapatkan tawaran hebat seperti diskaun dan rebat tunai untuk projek yang terbabit.

Hi HOME juga bekerjasama dengan CIMB menawarkan pengurangan pembayaran bulanan sehingga 10 peratus berbanding pembiayaan biasa dalam tempoh lima tahun pertama, kepada pembeli hartanah dalam ekspo itu.

Berita Harian X