Sabtu, 11 Julai 2020 | 3:16pm
Pengarah Urusan Aramco Overseas Malaysia, Saad Al-Qahtani (kanan) menyampaikan replikan cek kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof.
Pengarah Urusan Aramco Overseas Malaysia, Saad Al-Qahtani (kanan) menyampaikan replikan cek kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof.

Aramco Overseas Malaysia sumbang US$150,000 kepada Tabung COVID-19 NADMA

KUALA LUMPUR: Aramco Overseas Malaysia Sdn Bhd, firma sekutu Aramco yang berpangkalan di sini menyumbangkan US$150,000 (kira-kira RM642,000) kepada Tabung COVID-19 Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Tabung itu diwujudkan untuk membantu golongan yang terjejas secara langsung, berikutan pandemik global berkenaan selain usaha tempatan dalam membendung penularan COVID-19.

Pengarah Urusan Aramco Overseas Malaysia, Saad Al-Qahtani, berkata seluruh lapisan masyarakat sentiasa menjadi keutamaan pihaknya.

"Kami gembira dapat membantu dalam tindak balas terhadap virus ini menerusi sumbangan kami serta menyokong usaha besar yang dilakukan kerajaan Malaysia, begitu juga barisan hadapan yang gigih menangani penularan COVID-19.

"Kami pastinya mengharapkan lebih banyak kerjasama dapat dijalinkan dengan NADMA, terutama dalam menyediakan bantuan bencana," katanya dalam satu kenyataan.

Sumbangan itu diterima oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof, yang bertanggungjawab ke atas operasi NADMA, dalam satu majlis di Putrajaya, baru-baru ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah NADMA, Datuk Mohtar Mohd Abd Rahman.

Melalui sumbangannya kepada NADMA, Aramco Overseas Malaysia sekali gus turut bersama-sama dengan organisasi global dan tempatan lain yang telah berikrar menyokong Tabung COVID-19 kerajaan Malaysia sejak dilancarkan pada Mac 2020.

Sumbangan Aramco kepada NADMA adalah sebahagian tindak balas global syarikat itu terhadap COVID-19.

Setakat ini, sebagai sebahagian komitmen kepada masyarakat di kawasan yang menempatkan operasinya, Aramco telah menyumbangkan lebih US$63.5 juta untuk usaha membendung virus di seluruh dunia, menurut Aramco Overseas Malaysia.

Di Asia, sumbangan serupa telah diberikan kepada antaranya Persatuan Palang Merah Jepun, Persatuan Palang Merah China dan Persatuan Bantuan Bencana Korea Hope Bridge

Berita Harian X