Jumaat, 31 Julai 2020 | 4:53pm
KPJ Healthcare Bhd
KPJ Healthcare Bhd

KPJ jual kepentingan hospital Indonesia

KUALA LUMPUR: KPJ Healthcare Bhd melupuskan keseluruhan 80 peratus kepentingan dalam operasi hospital pakar di Jakarta Barat, Indonesia pada harga 96 bilion rupiah (kira-kira RM28 juta).

Ia disebabkan oleh kesukaran subsidiarinya itu mematuhi keperluan pelesenan dan pengawalseliaan yang dikenakan ke atas pengendali asing.

Kumpulan penjagaan kesihatan itu memeterai perjanjian untuk menjual kepentingan dalam PT Khidmat Perawatan Jasa Medika (KPJM) kepada Irfan Jasri, yang memiliki 20 peratus kepentingan dalam KPJM dan saham kepada Annie Trisusilo, pengarah perubatan daripada RS Medika Bumi Serpong Damai, sebuah lagi hospital KPJ di Indonesia.

KPJM memiliki sebuah hospital pakar di ibu negara republik berkenaan yang dikenali sebagai RS Medika Permata Hijau.

"Cadangan pelupusan itu adalah sebahagian daripada langkah penyusunan semula yang lebih meluas yang sedang diterokai bagi membolehkan KPJ mematuhi sepenuhnya keperluan pelesenan serta peraturan pihak berkuasa Indonesia.

"KPJ akan membuat pengumuman yang diperlukan sebaik sahaja proses penyusunan semula yang membabitkan operasi hospitalnya di Indonesia dimuktamadkan," kata KPJ dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.

KPJ dalam Laporan Tahunan 2019 menyatakan dua hospital miliknya di Jakarta mencatatkan pertumbuhan dua angka pada tahun lalu berikutan peningkatan bilangan pesakit.

Pendapatan RS Medika Permata Hijau menokok 23 peratus kepada RM27.2 juta pada 2019, menurut laporan berkenaan. - BERNAMA

Berita Harian X