Ahad, 2 Ogos 2020 | 3:56pm
Gambar fail: Ibu pejabat Bank Islam di Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman
Gambar fail: Ibu pejabat Bank Islam di Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman

Bank Islam mula tawar bantuan pembayaran semula bersasar

KUALA LUMPUR: Bank Islam Malaysia Bhd (Bank Islam) menawarkan lanjutan bayaran semula pembiayaan sehingga enam bulan kepada kumpulan sasar selepas tempoh moratorium berakhir 30 September ini.

Bank Islam dalam satu kenyataan, berkata ia menetapkan dua kumpulan sasar yang akan mendapat manfaat dari bantuan pembayaran semula dari bank berkenaan.

"Pertama, individu yang kehilangan pekerjaan dalam tahun 2020 dan kini tidak bekerja akan ditawarkan lanjutan moratorium selama tiga bulan dari penghujung tempoh berakhirnya penangguhan sedia ada.

"Kedua, bagi individu yang masih bekerja tetapi mengalami pengurangan pendapatan yang signifikan pula, mereka diberi pilihan iaitu pengurangan ansuran bulanan bersesuaian dengan pengurangan gaji, tertakluk kepada jenis pembiayaan atau fleksibiliti pembayaran selama enam bulan dari penghujung tempoh berakhirnya moratorium sedia ada," katanya.

Kenyataan itu turut menggesa pelanggan untuk menghubungi pegawainya bagi urusan pembayaran semula pinjaman yang terbaik.

"Pelanggan boleh mengunjungi rangkaian cawangan Bank di seluruh negara bermula 7 Ogos untuk membincangkan penyelesaian yang paling sesuai mengikut keadaan kewangan mereka dan melengkapkan borang permohonan untuk menikmati kemudahan ini," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed berkata, bantuan tambahan itu bertujuan untuk meringankan kekangan kewangan pelanggan dan menstabilkan aliran tunai pelanggannya.

"Bank telahpun mula menghubungi semua pelanggan kami melalui khidmat pesanan ringkas dan mengemaskini maklumat secara berkala di pelbagai platform komunikasi.

"Namun, kami akan terus melipatgandakan usaha untuk memastikan mesej ini disampaikan dengan berkesan," katanya.

Untuk sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut mengenai bantuan pembayaran semula yang ditawarkan, pelanggan dinasihatkan untuk mengunjungi cawangan Bank Islam terdekat atau menghubungi Pusat Panggilan Bank Islam di talian 03-2690 0900.

Berita Harian X