Ahad, 2 Ogos 2020 | 5:56pm
Gambar hiasan: Westports Holdings Bhd, Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang.
Gambar hiasan: Westports Holdings Bhd, Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang.

Sankyu Jepun cadang jadikan Pelabuhan Klang jadi pusat pengedaran

KUALA LUMPUR: Syarikat logistik Jepun, Sankyu bercadang menjadikan Pelabuhan Klang di pantai barat Malaysia sebagai pusat pengedarannya tahun hadapan.

Menurut Nikkei Asian Review, kemudahan Sankyu di pelabuhan Klang yang menjadi pelabuhan perdagangan terbesar di Malaysia itu akan membantu syarikat Jepun menembusi pasaran Asia Tenggara dan menjadi pusat transit perkapalan antara Jepun dan Asia Barat.

Kemudahan itu dijangka menjana 2.5 bilion yen (RM100.8 juta) dari segi pendapatan dalam tempoh tiga tahun pertama.

Sankyu juga dijangka menubuhkan anak syarikat tempatan bagi mengendalikan kemudahan itu yang meliputi sekitar 20,000 meter persegi.

Syarikat serantau Jepun yang mengeluarkan pakaian, barangan harian dan produk petrokimia disasarkan menjadi pengguna pusat itu, demikian menurut Nikkei Asian Review.

Syarikat yang menggunakan perkhidmatan pusat itu dapat menyimpan sementara barangan sebelum di hantar ke negara jiran mengikut permintaan.

Ia mengambil masa sekitar satu bulan untuk mengangkut barangan dari Jepun ke Asia Tenggara melalui jalan laut. Namun dengan adanya pusat berkenaan ia mengurangkan tempoh berkenaan kepada hanya seminggu, mengurangkan masa dan kos pengangkutan.

Menurut Nikkei Asian Review, syarikat itu juga akan memudahkan prosedur kastam dan menyasarkan untuk mendapatkan kontrak daripada kira-kira sepuluh syarikat.

Pelabuhan Klang berada di Selat Melaka yang menghubungkan Asia Barat dan Asia Timur.

Berita Harian X