Selasa, 15 September 2020 | 6:24pm
Dr Iskandar Samad, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang baharu MIMOS berkuatkuasa 15 September 2020.
Dr Iskandar Samad, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang baharu MIMOS berkuatkuasa 15 September 2020.

Dr Iskandar Presiden, CEO baharu MIMOS

KUALA LUMPUR: Pusat penyelidikan dan pembangunan gunaan nasional MIMOS, melantik Dr Iskandar Samad sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang baharu berkuatkuasa 15 September 2020.

MIMOS yang juga agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) berkata, Iskandar mempunyai pengalaman dalam pelbagai sektor seperti telekomunikasi, media digital dan perkhidmatan kewangan.

Katanya, Iskandar pernah menjadi Ketua Pegawai Eksekutif di Jewel Digital Ventures Sdn Bhd, anak syarikat Permodalan Nasional Bhd serta Astro Malaysia Holdings-OTT dan Tribe (Hong Kong) Ltd.

"Beliau juga pernah memegang jawatan di Axiata Bhd sebagai Naib Presiden OTT-MVNO (Mobile Virtual Network Operators), Axiata Digital Services, dan Naib Presiden Bahagian Projek Khas.

"Sebelum menyertai MIMOS, Iskandar menjalankan firma perunding strategiknya sendiri yang memfokuskan kepada bidang transformasi digital, data analitik dan pembangunan strategi.

"Antara bidang fokus yang dijalankan termasuklah analisis dan penyelidikan tentang COVID-19 yang meliputi model ramalan, analisis impak sosioekonomi serta penilaian dan pengesyoran dasar," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

MIMOS berkata, Iskandar mempunyai kelulusan Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama dalam jurusan Kejuruteraan Elektrik dan Sains Maklumat, dan Doktor Falsafah (PhD) dalam jurusan Kejuruteraan dari University of Cambridge UK.

Pengerusi MIMOS, Tan Sri Shahril Shamsuddin, berkata pelantikan Iskandar itu bakal menambah kepelbagaian dalam perspektif, pengetahuan dan daya kreativiti kepada Lembaga Pengarah MIMOS.

"Kami menyambut baik pelantikan Iskandar dan yakin dengan kewibawaan dan kecekapannya, dia mampu menerajui MIMOS ke arah yang lebih cemerlang.

"MIMOS juga merakamkan penghargaan kepada Emelia Matrahah yang telah berkhidmat sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Interim dari 1 Disember 2018 hingga 14 September 2020," katanya.

Berita Harian X