Ahad, 20 Ogos 2017 | 6:19pm
NAJIB menyaksikan pemeteraian MoU antara UUM dengan Amtel Mega di Langkawi. - Foto BBXpress

Langkawi Premium Outlet bakal dibangunkan

LANGKAWI: Universiti Utara Malaysia (UUM) menerusi anak syarikat, Uniutama Management Holdings Sdn Bhd (UMHSB), dengan kerjasama Amtel Mega Sdn Bhd, iaitu anak syarikat Amtel Holdings Bhd bakal membangunkan Premium Outlet di Bandar Kuah, Langkawi.

Sehubungan itu, satu memorandum persefahaman (MoU) dimeterai kedua-dua pihak bagi merealisasikan cadangan projek pembangunan terbabit.

Majlis pemeteraian MoU itu ditandatangani oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UMHSB, Datuk Megat Fairouz Junaidi Megat Junid, manakala Amtel Mega diwakili Pengarahnya, Megat D Shahriman Zaharudin dengan disaksikan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UMHSB, Suardi Mohamed Zakaria dan wakil Amtel Holdings Sdn Bhd, Khalid Ahmad Husni.

Pemeteraian itu turut disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Naib Canselor UUM, Prof Datuk Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak, selepas pelancaran Digital Langkawi di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri, Langkawi, di sini.

Projek Premium Outlet yang bakal dikenali sebagai 'Langkawi Premium Outlet' akan dibangunkan di tapak berkeluasan empat hektar milik UUM yang dijangka menjadi satu lagi mercu tanda ikonik, seterusnya daya tarikan baharu kepada pelancong ke Pulau Langkawi.

Sebagai sebahagian daripada komitmen perjanjian usaha sama kedua-dua pihak, UMHSB dan Amtel Mega Sdn Bhd akan bertindak selaku Joint Master Developer bagi pembangunan projek yang mana pihak Amtel Mega Sdn Bhd akan membiayai dan melabur sepenuhnya dalam pembangunan projek itu.

Cadangan projek itu adalah inisiatif penting UUM untuk meningkatkan penjanaan kekayaan dan sumber pendapatan jangka masa panjang kepada universiti.

Berita Harian X