Isnin, 21 Ogos 2017 | 7:04pm
SETAKAT 31 Julai 2017, kemajuan pembinaan MRT Laluan SSP ialah 12.05 peratus siap, manakala kemajuan pembinaan pada bulan ini berjalan mengikut jadual. - Foto hiasan

Pembinaan MRT laluan SSP masuk fasa baharu

KUALA LUMPUR: Proses pembinaan projek Transit Aliran Massa (MRT) bagi jajaran Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP) mencapai kejayaan penting dengan siapnya struktur rentangan jejambat (viaduct) pertama laluan itu.

Pengarah Projek Laluan SSP MRT Corporation Sdn Bhd, Datuk Amiruddin Ma'aris, berkata lokasi rentangan itu ialah di tapak Stesen Kepong Baru, yang juga satu daripada 24 stesen bertingkat bagi laluan SSP.

Beliau berkata, penyiapan rentangan pertama itu dan kejayaan pelancaran Galang Kekotak Bersegmen (segmented box girders) menunjukkan projek itu memasuki fasa baharu dalam pembinaannya.

"Dalam tempoh dua tahun akan datang, satu rangkaian berterusan tiang akan dibina di sepanjang jalan utama dan lebuh raya, diikuti dengan pelancaran Galang Kekotak Bersegmen untuk membina jejambat," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Setelah bahagian jejambat yang mencukupi siap, tambahnya, kerja memasang landasan pada jejambat itu dapat dimulakan bagi membentuk jajaran bertingkat Laluan SSP sepanjang 38.7 kilometer (km).

Setakat 31 Julai 2017, kemajuan pembinaan MRT Laluan SSP ialah 12.05 peratus siap, manakala kemajuan pembinaan pada bulan ini berjalan mengikut jadual.

"Kami yakin Laluan SSP Fasa Pertama akan siap pada Julai 2021, manakala laluan keseluruhan akan beroperasi sepenuhnya menjelang Julai 2022," katanya.

Jajaran SSP adalah aliran perkhidmatan MRT kedua yang mula dibina pada 2015, merangkumi jarak sejauh 52.2 km, termasuk 13.5 km laluan bawah tanah dan menghubungkan sebanyak 35 stesen. - BERNAMA

Berita Harian X