Rabu, 23 Ogos 2017 | 11:44am
Menteri Perdagangan Indonesia, Enggartiasto Lukita.

Indonesia tukar komoditi dengan jet Sukhoi

JAKARTA: Indonesia akan membeli 11 pesawat pejuang Sukhoi bernilai AS$1.14 bilion (RM4.88 bilion) dari Russia sebagai pertukaran bagi tunai dan komoditi Indonesia, kata dua menteri kabinet semalam.

Indonesia berjanji untuk menghantar komoditi bernilai sehingga AS$570 juta (RM2.44 billion) sebagai tambahan tunai untuk membayar harga pesawat pejuang Sukhoi SU-35 itu.

Pesawat itu dijangka dihantar secara berperingkat bermula dari tempoh dua tahun dari sekarang.

Menteri Perdagangan Indonesia, Enggartiasto Lukita, dalam satu kenyataan bersama dengan Menteri Pertahanan, Ryamizard Ryacudu, berkata maklumat lanjut mengenai jenis dan jumlah komoditi masih dalam rundingan.

Sebelum ini, beliau berkata eksport yang terbabit termasuklah minyak sawit, teh dan kopi.

Perjanjian itu dijangka akan dimuktamadkan tidak lama lagi antara syarikat dagangan Indonesia, PT Perusahaan Perdagangan Indonesia dan konglomerat Russia, Rostec.


Pesawat pejuang Sukhoi SU-35 bernilai AS$1.14 bilion (RM4.88 bilion) dari Russia

Rusia kini sedang berhadapan dengan pusingan baharu sekatan dagangan oleh Amerika Syarikat (AS).

Dalam pada itu, negara ekonomi terbesar di Asia Tenggara itu kini sedang cuba mempromosikan produk minyak sawitnya di tengah-tengah ancaman pengurangan penggunaan oleh negara Kesatuan Eropah.

Indonesia juga sedang cuma memodenkan angkatan udaranya selepas berlakunya beberapa siri kemalangan membabitkan tentera udara.

Indonesia yang mempunyai lebihan dagangan berjumlah AS$411 (RM1.76 billion) dengan Russia pada tahun 2016 antara lainnya juga mahu mengembangkan kerjasama dua hala dalam bidang pelancongan, pendidikan, tenaga, teknologi dan penerbangan. - Reuters

Berita Harian X