Ahad, 17 September 2017 | 5:59pm
Ketua Pegawai Modal Insan Bank Rakyat, Mohd. Farid Shah Mohd. Basir (kanan) semasa menerima anugerah Anugerah Kepimpinan Pasaran GIFA (Perkhidmatan Pajak Gadai) 2017 di Anugerah Kewangan Islam Global (GIFA) ke-7 di Astana, Kazakhstan.

Bank Rakyat gondol Anugerah GIFA

KUALA LUMPUR: Bank Rakyat meraih Anugerah Kepemimpinan Pasaran GIFA (Perkhidmatan Pajak Gadai) 2017 di Anugerah Kewangan Islam Global (GIFA) yang ketujuh.

Anugerah yang disampaikan di Hotel Hilton, Astana, Kazakhstan ialah pengiktirafan atas usaha berterusan, komitmen dan dedikasi Bank Rakyat dalam menetapkan standard industri dalam menawarkan perkhidmatan pajak gadai Islam.

Pada majlis yang sama, Ketua Pegawai Modal Insan Bank Rakyat, Mohd Farid Shah Mohd Basir turut dianugerahkan sebagai Personaliti Akan Datang dalam Kewangan Islam Global (Sumber Manusia dan Pembangunan Bakat) 2017 sebagai pengiktirafan atas usahanya dalam membina Amalan Terbaik Sumber Manusia dan Pembangunan Bakat dalam sektor kewangan Islam.

Majlis anugerah yang dihoskan oleh Pusat Kewangan Antarabangsa Astana (AIFC) baru-baru ini, turut dihadiri oleh Presiden Kazakhstan, Nursultan Nazarbayev.

Beberapa bank Islam dan pihak berkepentingan lain daripada industri perkhidmatan kewangan Islam global yang berkumpul di Astana untuk mengambil bahagian bagi meraikan kejayaan yang berprestij dalam perbankan dan kewangan Islam.

Anugerah GIFA yang dianjurkan oleh Edbiz Consulting, sebuah perundingan kewangan Islam yang berpangkalan di London sejak 2011, ialah penghargaan paling berprestij dalam industri perkhidmatan kewangan Islam.

Anugerah berkenaan mengiktiraf individu dan organisasi untuk kejayaan dan amalan terbaiknya dalam sektor kewangan Islam.

Selain pengiktirafan daripada GIFA 2017, perkhidmatan Pajak Gadai-i Ar-Rahnu Bank Rakyat turut diiktiraf oleh Anugerah Jenama Terbaik The BrandLaureate bagi kategori Penjenamaan Produk Kewangan Pinjaman Bercagar/Pajak Gadai.

Bank Rakyat kini memperkenalkan Kempen Emas 1 Kilo bagi memenuhi keperluan kewangan pelanggan menerusi produk Ar-Rahnu yang berlangsung sejak 1 Ogos 2017 sehingga 31 Julai 2018 dengan menawarkan pelbagai hadiah menarik dengan nilai keseluruhannya berjumlah hampir RM500,000.

Berita Harian X