Isnin, 16 Oktober 2017 | 9:03pm
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed (berdiri kiri) berbincang sesuatu bersama Menteri Ekonomi dan Perdagangan Negeri Qatar Sheikh Ahmed Jassim Mohammed Al Thani (berdiri kanan) ketika menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) diantara Naib Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia Rizal Faris Mohideen Abdul Kader (duduk kiri) dengan Pengerusi Qatar Chamber Sheikh Khalifa Jassim Mohammed Al Thani pada Forum Ekonomi Qatar-Malaysia hari ini. - Foto BERNAMA

Malaysia, Qatar bincang teruskan Harrods Hotel KL

KUALA LUMPUR: Malaysia akan berbincang dengan kerajaan Qatar mengenai kemungkinan menghidupkan semula cadangan projek pembinaan hotel mewah Harrods Hotel Kuala Lumpur yang tergendala.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Sri Mustapa Mohamed, berkata ia berdasarkan status Malaysia yang terus menjadi destinasi pelancongan popular global serta pertumbuhan ekonomi yang kekal kukuh.

"Kita menggalakkan Qatar untuk menambah pelaburan di Malaysia. Mereka juga menyatakan minat untuk melihat peluang pelaburan di Malaysia dan kita harap pelaburan Qatar di negara ini akan bertambah.

"Sekiranya mereka membuat keputusan untuk menghidupkan semula rancangan itu (Harrods Hotel Kuala Lumpur), ia langkah baik," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis memeterai lima memorandum persefahaman (MoU) di antara beberapa institusi pengajian tinggi (IPT) Malaysia dengan kerajaan Qatar di sini, hari ini.

Mustapa berkata, Malaysia ada ruang untuk Qatar melabur dalam sektor perhotelan.

"Beberapa kawasan di Malaysia kekurangan hotel lima hingga enam bintang seperti Kuala Lumpur, Kota Kinabalu, Langkawi. Kita sarankan mereka (QATAR) melihat peluang ini, selain pelaburan dalam bidang lain," katanya.

Dana pelaburan kerajaan Qatar, Qatar Holding LLC membeli Harrods, pusat beli-belah ikonik London itu pada 2010 daripada usahawan Mesir, Mohamed Al-Fayed yang dilaporkan bernilai sekitar STG1.5 bilion (RM8.41 bilion). 

Ia bercadang mengembangkan jenama terkenal dunia itu menjadi sebuah enterpris yang sinonim dengan sektor peruncitan dan hospitaliti mewah.

Cadangan awal ialah membuka Harrods Hotel di Kuala Lumpur bernilai sekitar RM2 bilion menerusi usaha sama Qatar Holding dan Jerantas Sdn Bhd pada 2012.

Jerantas adalah usaha sama di antara anak syarikat milik penuh Tradewinds Corp Bhd, PS Trading Sdn Bhd yang menguasai 34 peratus kepentingan dan Gagasan Simfoni Sdn Bhd sebanyak 66 peratus.

Bagaimanapun, cadangan pembinaan hotel mewah 300 bilik itu yang dijadualkan beroperasi pada 2018 tidak dapat diteruskan atas faktor tertentu.

Qatar Holdings memiliki kepentingan dalam beberapa syarikat mewah di seluruh dunia, termasuk konglomerat Perancis LVMH Moet Hennessy Louis Vuitton, penjual barangan kemas Tiffany dari Amerika Syarikat (AS), syarikat automotif Jerman Porsche, selain pelaburan dalam sektor hospitaliti di seluruh dunia.

Berhubung MoU dimeterai hari ini, Mustapa berkata, ia membabitkan Universiti Malaya (UM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Kerjasama berkenaan bagi menggalakkan pertukaran pelajar serta lebih ramai pelajar Qatar belajar di Malaysia, selain kerjasama dalam bidang pendidikan.

Selain itu, memorandum perjanjian (MoA) juga dimeterai bagi penubuhan Dewan Perniagaan Bersama Malaysia-Qatar.

416 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »